fbpx

Andai rasuah seperti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Seminggu dua ini diari mahkamah kembali diisi dengan kes-kes menarik termasuk melibatkan dua bekas menteri.

Dua figura itu menerima nasib berbeza apabila seorang dilepaskan dan dibebaskan, manakala seorang lagi pula didakwa dan mengaku tidak bersalah.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta oleh Mahkamah Rayuan pada 16 Julai lalu.

Walau bagaimanapun nasib Ku Nan masih belum ‘cerah’ lagi kerana Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap pembebasan itu di Mahkamah Rayuan tiga hari kemudian.

Turut mencuri tumpuan pastinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa atas kesalahan pecah amanah dana politik dan salah guna wang sumbangan untuk kempen pilihan raya.

Tiada angin, tiada ribut bekas menteri muda berusia 29 tahun itu didakwa di mahkamah berhubung kesalahan yang didakwa dilakukan beliau pada 2018 dan 2020.

Tidak berakhir di mahkamah, kempen dana awam dimulakan pada hari sama bagi mengumpul wang untuk membayar wang ikat jamin RM330,000.

Terbaharu, yang menjadi sebutan kes rasuah tiga bekas pegawai di pihak berkuasa tempatan yang ditahan pada Jumaat lepas. Mereka terdiri daripada dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor dan seorang bekas timbalan YDP serta seorang pegawai daerah (DO).

Suspek disyaki menerima pelbagai habuan daripada kontraktor dan pemaju perumahan untuk meluluskan projek-projek di kawasan masing-masing.

Bukan sikit nilainya, malah jutaan ringgit. Bukan juga setahun dua tetapi bertahun-tahun lamanya mereka bersekongkol.

Amalan memberi suapan bagi membolot projek-projek ini besar impaknya.

Ia bukan hanya melibatkan pemberi dan penerima, malah lebih teruk lagi menutup peluang rezeki buat kontraktor lain terutama yang beroperasi dalam skala kecil.

Bagi kes melibatkan DO dan juruukur baru-baru ini, difahamkan, mereka bersekongkol dengan kontraktor yang mempunyai 70 syarikat bagi membolot projek-projek termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga, manakala selebihnya pula milik kroni atau proksi.

Sudah pasti habuan yang diterima juga lumayan. Malangnya, untuk menghidu perlakuan rasuah ini bukannya mengambil masa sehari atau sebulan lagi-lagi yang melibatkan amaun jutaan ringgit, sudah pasti memerlukan risikan yang rapi.

Jika rasuah itu mudah dikenal pasti seperti mengesan virus Covid-19 dalam badan pesakit dengan hanya melakukan ujian calitan, sudah pasti ramai yang tidak berani mendekati rasuah.

Namun kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu berbahaya. Seperti kata peribahasa sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI