BANGI – Jurang antara keputusan dan pelaksanaan di dalam perkhidmatan awam perlu ditangani secara serius sekiranya ingin membina sistem pentadbiran yang benar-benar berfungsi, responsif dan dipercayai.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kelemahan dan pelaksanaan bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam.
“Hari ini, cabaran utama perkhidmatan awam bukan lagi terletak pada kekurangan dasar atau perancangan, sebaliknya pada keupayaan memastikan setiap keputusan dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak nyata kepada rakyat.
“Dalam banyak keadaan, inisiatif telah dilancarkan dan pelan telah dirangka, namun pelaksanaannya tidak disempurnakan sepenuhnya,” katanya berucap pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke-12 di Bangi Avenue Convention Centre di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan pendekatan Whole-of-Government memberi penekanan kepada penyampaian berasaskan hasil, pengurangan kerenah birokrasi serta peningkatan kecekapan sistem penyampaian.
“Inisiatif seperti pendigitalan perkhidmatan, prinsip no wrong door policy (dasar tiada pintu salah) dan usaha memudahkan urusan rakyat merupakan langkah konkrit ke arah perkhidmatan lebih cekap, inklusif dan berfokus kepada rakyat.
“Justeru dalam mendepani realiti ini, CeIO perlu tampil sebagai penggerak utama yang membantu menutup jurang antara keputusan dan pelaksanaan.
“Peranan CeIO adalah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berintegriti, dipantau secara sistematik dan benar-benar memberi nilai kepada rakyat, seterusnya memperkukuh kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara,” katanya.
Azam berkata, sehingga kini seramai 3,333 pegawai berjaya ditauliahkan di bawah punca kuasa Arahan Perdana Menteri Siri 1 No 1 Tahun 2011.
“Ini sekali gus membuktikan kesinambungan dan kepentingan program berkenaan dalam membangunkan kapasiti pegawai integriti secara sistematik dan berstruktur.
“Sepanjang tahun 2025 pula, seramai 486 pegawai daripada sektor awam, syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) dan sektor swasta berjaya ditauliahkan melalui 10 siri program CeIO sama ada secara terbuka mahupun in-house (dalaman),” katanya. – KOSMO! ONLINE














