fbpx

Korban banjir di China meningkat kepada 33 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki melihat kerosakan pada jalan akibat banjir besar yang melanda Zhengzhou, semalam. – AFP

BEIJING – Berpuluh-puluh  ribu penduduk dipindahkan dari kawasan banjir besar di tengah China semalam ketika angka korban bencana itu dilaporkan meningkat kepada 33 orang, lapor akhbar New York Post.

Angka itu termasuk 12 penumpang yang mati dalam kejadian  kereta api bawah tanah yang ditenggelami air di bandar Zhengzhou.

Sehingga kini, kerugian akibat banjir besar itu dilaporkan sekitar AS$189 juta (RM798 juta).

Situasi itu mendorong Biro Kaji Cuaca Wilayah mengeluarkan amaran ‘merah’ di empat buah bandar di utara Henan iaitu Xinxiang, Anyang, Hebi dan Jiaozuo, yang merupakan amaran peringkat tertinggi.

Sementara itu, meskipun cuaca cerah di Zhengzhou semalam, limpahan air banjir masih berada pada paras tinggi dengan keseluruhan jalan-jalan utama ditenggelami air sehingga memaksa anggota penyelamat menggunakan rakit getah untuk menyelamatkan penduduk.

Kumpulan sukarelawan turut menggunakan bot untuk membawa penduduk yang terperangkap di sebuah pangsapuri dengan wanita hamil dan kanak-kanak dipindahkan terlebih dahulu.

Zhengzhou pada minggu ini menerima hujan menyamai taburan setahun dalam masa empat  hari sahaja  dari Sabtu hingga Selasa lalu.

Menurut seorang pegawai penyelamat, pasukannya telah menyelamatkan kira-kira 1,000 penduduk dari sebuah kawasan kejiranan Rabu lepas, manakala 1,000 yang lain diselamatkan semalam.

“Ada antara penduduk yang enggan keluar kerana mereka mempunyai bekalan makanan.

“Ini kerana mereka tahu sekiranya mereka keluar, mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju,” katanya.

Seorang  penduduk yang hanya dikenali sebagai Xu berkata,  dia bersama isteri dan anak-anaknya terperangkap di sebuah pangsapuri selama beberapa hari tanpa bekalan air.

“Kami tidak mempunyai bekalan air, elektrik, tidak boleh mandi dan air yang telah kami gunakan daripada aktiviti membasuh digunakan pula untuk kegunaan tandas,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI