fbpx
Kesan kemusnahan di sebuah perkampungan akibat kejadian banjir besar di Aceh Tamiang.

NGO Malaysia tetap hulur harapan di Aceh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAMPIR sebulan berlalu, Aceh, Indonesia masih ‘lumpuh’ selepas dilanda banjir lumpur yang membawa kemusnahan kepada kediaman, harta benda, ternakan serta nyawa.

Menerusi laporan, wilayah Aceh Tamiang antara lokasi paling teruk terjejas apabila kawasan itu masih berlumpuh sepenuhnya, membuatkan bantuan sukar disalurkan.

Di mana-mana daerah banyak pokok kayu, perabot rosak serta cebisan sisa pelbagai barangan yang bercampur lumpur bertimbun sehingga ke hari ini.

Tidak berdiam diri, Malaysia antara negara jiran yang segera menghulurkan bantuan sejak tragedi menyedihkan itu berlaku pada 26 November lalu.

Malaysian Relief Agency (MRA) iaitu pertubuhan kemanusiaan yang aktif dalam pelbagai misi global merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) yang kini berada di lokasi bagi menyalurkan bantuan.

Pengerusi MRA Selangor, Sharifah Nor Syed Mohamad, berkata MRA negeri memberikan sokongan penuh terhadap usaha MRA pusat yang kini dalam proses menubuhkan ‘central kitchen’ atau hab dapur di Aceh.

“Buat masa ini banyak kawasan yang sukar dimasuki kenderaan kerana jalan masih diliputi lumpur tinggi dengan sisa kayu selain ketiadaan bahan api serta bahan mentah untuk memasak.

“Bukan hanya air bersih, mangsa memerlukan makanan siap masak yang membuatkan MRA juga mahu menyegerakan penubuhan ‘central kitchen’ ini agar mudah untuk mengagihkan makanan segera. Ini juga dengan kerjasama sukarelawan lokal.

“Buat masa ini ada pihak memasak di Medan dan kemudian bawa pek makanan panas ke Aceh tetapi ambil masa tiga jam untuk sampai. Jadi jika MRA buka dapur di lokasi, lokasi agihan makanan panas dapat diperluaskan,” katanya.

Katanya, sukarelawan MRA pusat termasuk doktor serta petugas perubatan berpangkalan di sana membuat tinjauan awal sebelum menyelenggarakan pengurusan bantuan yang lebih tersusun dalam masa terdekat

“Penyakit bawaan air meningkat terutama selepas pascabencana banjir besar, dengan difahamkan beribu kes sudah dilaporkan termasuk yang membawa kepada kematian.

“Antaranya adalah cirit-birit, jangkitan kulit, demam tifoid, demam denggi di Aceh Tamiang serta campak. Kekurangan air bersih serta sanitasi buruk di pusat pemindahan turut mempercepatkan penularan.

“Jadi sukarelawan MRA akan cuba membantu sehabis baik dengan sukarelawan lokal termasuk di pusat pemindahan sementara yang memerlukan ramai petugas perubatan,” katanya.

Selain banjir lumpur, kejadian tanah runtuh pada 26 November lalu mengakibatkan 1,106 mangsa meninggal dunia, 175 orang hilang, 7,000 cedera, selain memberi impak kepada 52 daerah.

Biarpun kerajaan pusat memaklunkan enggan menerima bantuan luar, hal berkenaan tidak memadamkan hasrat sukarelawan negara lain serta NGO seperti MRA untuk ‘turun padang’ memberi harapan buat warga Aceh untuk kembali berdiri.

Disifatkan sebagai ‘Tsunami Kedua’ selepas tragedi pahit pada 2004, trauma lama yang belum pernah hilang ini mengembalikan semula ketakutan, namun sokongan emosi negara jiran sedikit sebanyak meredakan gelora jiwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN