fbpx

Persatuan kilang rayu kerajaan benarkan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) merayu kerajaan agar membenarkan industri pembuatan bukan dalam sektor perlu kembali beroperasi pada kapasiti 50 peratus tenaga kerja, sebelum banyak syarikat terpaksa gulung tikar.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, banyak industri bawah sektor tidak perlu yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana, selain industri yang terlibat dalam rantaian bekalan global dengan komitmen eksport telah ditutup dua bulan sejak 25 Mei lalu.

“Di bawah Pelan Pemulihan Negara fasa 1, banyak sektor kritikal seperti besi dan keluli, industri mineral bukan logam, pengeluar produk berasaskan getah (kecuali sarung tangan getah) serta mesin & peralatan (kecuali sektor makanan dan kesihatan yang berkaitan) terus ditutup. 

“Penutupan kilang sedang membunuh industri ini kerana bekalan simpanan mereka semakin kurang meskipun ada bantuan kewangan daripada kerajaan dalam bentuk subsidi upah dan moratorium pinjaman automatik,” katanya dalam satu kenyataan.

FMM telah menjadi suara untuk sektor pembuatan di negara ini sejak 1968, mewakili lebih 10,000 ahli yang mana 3,000 daripadanya terlibat secara langsung manakala 7,000 lagi terlibat secara tidak langsung dalam rantaian pembekalan pembuatan.

Menurut Thian Lai, keadaan sektor perkilangan yang semakin tenat jelas kelihatan daripada kaji selidik yang dilaksanakan pihaknya baru-baru ini.

“Daripada syarikat tergolong dalam sektor bukan perlu yang memberi respons, 93 peratus mengatakan jumlah jualan eksport dan jualan domestik mereka telah merosot.

“93 peratus berkata aliran tunai mereka berkurangan dan 82 peratus menyatakan eksport menurun sehingga 30 peratus.

“Manakala 21 peratus telah meminta kakitangan mengambil cuti tanpa gaji; 23 peratus melaksanakan pemotongan gaji; empat peratus membuang pekerja dan 23 peratus menyatakan telah mengambil langkah lain melibatkan pengambilan pekerjaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI