fbpx

Kaut untung caj tayamum sehingga RM700

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kadar kematian yang tinggi akibat jangkitan Covid-19 khususnya di Selangor menyebabkan ada pihak yang didakwa cuba mengaut keuntu­ngan dengan mengenakan caj yang tinggi untuk menguruskan jenazah.

Perkara itu dipercayai berlaku kepada si mati yang beragama Islam dengan kewujudan kartel-kartel tertentu yang mengenakan caj tayamum sehingga RM730 bagi jenazah perempuan dan RM680 bagi jenazah lelaki.

Pengerusi dan Pengasas Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali Wan Cai berkata, proses tersebut hanya mengambil masa masa kurang seminit dan menggunakan debu ta­yamum berharga RM5.

“Sepaket debu tayamum boleh digunakan untuk tiga jenazah. Kos pakaian perlindungan diri (PPE) bagi dua petugas pula dianggarkan RM100 kerana hanya dua orang dibenarkan menyantuni jenazah.

“Meletakkan caj sehingga RM700 adalah tidak masuk akal dan boleh dianggap menangguk di air keruh lebih-lebih dalam suasana pandemik sekarang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, harga itu bagaimanapun dikuatkuasakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pengurusan jenazah penyakit berjangkit se­perti HIV dan Ebola.

Justeru, Wan Chai mene­gaskan, penggubalan atau pe­wartaan kos pengurusan jena­zah pesakit Covid-19 kepada panel-panel terlibat perlu diselaraskan bagi mengelak dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Paling terkesan apabila waris diminta mencari van jenazah. Perkara terlintas di fikiran sudah pasti van jenazah masjid dan surau, namun ada yang tidak mahu kerana kebanyakan mereka adalah warga emas yang be­risiko tinggi dijangkiti Covid-19.

“Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi sandaran waris, namun kita tidak mahu ada pihak kaut untung dengan sewenang-wenangnya. Van jenazah bukannya aplikasi penghantaran yang boleh ditekan (tempah) sahaja dan sampai,” katanya.

Jelasnya, UKVJ berpendirian segala urusan dilakukan oleh NGO itu sendiri bermula daripada proses tayamum hingga pengebumian.

Tambah Wan Cai, pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran bagi pengurusan jenazah termasuk Covid-19, sebaliknya meminta waris membayar kos tanah kubur kerana kebanyakan mereka mempunyai bantuan khairat kematian.

“UKVJ menguruskan lebih 100 jenazah Covid-19 dan kita berge­rak hasil sumbangan orang ramai. Namun, disebabkan ada pihak tertentu buat onar, UKVJ terpalit dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif, Skuad Pengurusan Jena­zah Malaysia (SJPM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid tidak menafikan kewujudan kartel yang mengaut untung ke atas keluarga jenazah pesakit Covid-19.

Ini termasuk menggunakan nama NGO tertentu bagi meminta sumbangan dan menguruskan jenazah, namun ia terbongkar selepas semakan mendapati mereka menggunakan akaun peribadi atau syarikat tertentu dan bukannya NGO berdaftar.

“Nama SPJM juga terpalit apabila ada meminta sumbangan membeli PPE dan kit jenazah. Jadi saya nasihatkan orang ramai agar semak akaun sebelum me­lakukan transaksi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI