fbpx

Nur Fazura sayu, rindukan Mekah, Madinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZURA bersama suaminya Fattah Amin pernah mengerjakan umrah pada hujung 2019.

PETALING JAYA – Sehari menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, pelakon Nur Fazura menzahirkan kesayuan dan kerinduannya saat  mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pelakon filem Dendam Pontianak itu berkata, dia akan melihat semula gambar kenangan ketika menunaikan ibadah umrah dan mendengar talbiyah (sejenis bacaan yang dibaca oleh jemaah haji atau umrah ketika dalam ihram) jika didatangi rasa rindu dengan suasana dua kota suci yang sangat dekat dengan umat Islam di seluruh dunia itu.

“Siapa rasa rindu ke Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah? Bila teringat (rindu), saya akan tengok gambar dan mendengar talbiyah. Rasa sayu sangat hati ini,” tulisnya dalam Instagram.

Bagaimanapun, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin berkata, dia sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berkesempatan untuk menunaikan ibadah umrah bersama dua orang sahabat (dianggap kakak) iaitu penata imej, Yana Baharudin dan usahawan, Nurida Suraya serta suaminya, Fattah Amin sekitar penghujung tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda.

SAHABAT yang pernah bersama Fazura sewaktu mengerjakan umrah pada 2019.

Menerusi perkongsian tersebut, Fazura berkata pengalamannya menunaikan umrah pada ketika itu dianggap sangat luar biasa kerana berasa tenang dan dipermudahkan.

“Umrah ketika itu rasa cukup luar biasa, penuh ketenangan dan kesyukuran. Mungkin sebab rasa banyak sangat dosa ketika iti. Saya selalu rasa begitu (banyak dosa) dan berharap selalu rasa ada banyak dosa,” katanya.

Ibu kepada Nur Fatima Aisya itu turut berkongsi impiannya untuk menunaikan ibadah haji pada masa akan datang jika diberikan keizinan oleh-Nya.

“Teringin sampai masa nanti jika diizinkan Allah SWT untuk menunaikan haji pula. Doa di kesempatan ini, moga saya dapat memperbaiki lagi diri.

“Amalan, akhlak dan segala niat dalam diri. Saya berdoa juga kepada semua yang belum berkesempatan (menunaikan umrah dan haji), supaya dipermudahkan urusan ke Tanah Suci. InshaAllah semoga dipermudahkan,” ujarnya.

Dalam kesempatan sama, Fazura turut memberi ucapan kepada sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah puasa hari Arafah pada 9 Dzulhijjah 1442 (hari ini) supaya diampunkan segala dosanya dan diberikan rahmat serta petunjuk oleh Allah SWT. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI