fbpx

‘Transporter’ lari tinggalkan ganja RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis ganja bernilai RM1.2 juta yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat hari ini. - Foto ZULHANIFA SIDEK

TUMPAT – Seorang lelaki yang dipercayai berperanan sebagai pengangkut atau ‘transporter’ lari meninggalkan 494 kilogram (kg) ketulan ganja bernilai RM1.2 juta selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terhumban ke dalam tali air di Kampung Lambor, Wakaf Bharu di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 malam itu, pemandu SUV jenis Honda CRV dipercayai memandu secara melulu selepas cuba melarikan diri daripada ditahan polis yang sudah menghidu kegiatan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, unit kereta peronda polis (MPV) telah mengesan pergerakan SUV itu dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Pasir Puteh menghala ke persimpangan lampu isyarat di Chabang Empat di sini.

Menurutnya, anggota unit MPV mengarahkan SUV itu berhenti, namun pemandunya telah bertindak memecut laju kenderaan tersebut ke arah Kampung Lambor.

“MPV telah meminta bantuan anggota Balai Polis Pengkalan Kubor dalam usaha untuk mengejar suspek yang telah melarikan diri dengan SUV tersebut.

“Setelah hampir 20 minit mengejar, kenderaan yang dipandu secara laju itu telah terbabas sebelum terhumban ke dalam tali air di Kampung Lambor di sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.

Menurut Abdullah, meskipun SUV berada di dalam air, suspek telah keluar daripada kenderaannya dan naik ke atas jalan.

Katanya, bagaimanapun, terdapat sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki sudah berada di kawasan itu seolah-olah sedang menunggu suspek.

“Lelaki itu terus membonceng motosikal tersebut, namun telah melompat ke bahagian tepi semak selepas MPV mendekati motosikal berkenaan.

“Kita berjaya menahan penunggang motosikal itu, namun suspek telah meloloskan diri melalui kawasan semak di tepi jalan kampung tersebut,” katanya.

Abdullah memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas SUV itu telah menjumpai sebanyak 494 kg ketulan mampat disyaki dadah jenis ganda.

Katanya, selepas membuat semakan terhadap SUV itu, polis terus membuat serbuan di dua lokasi di Kota Bharu iaitu Binjai dan Padang Tembak, namun premis tersebut didapati sudah kosong.

“Siasatan awal mendapati dadah-dadah itu dipercayai akan dibawa dan dijual di pasaran sekitar Lembah Klang. Sekiranya terlepas ke pasaran, bekalan itu boleh dijual kepada seramai 988,000 orang penagih,” katanya.

Tambah Abdullah, polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI