fbpx

Bekas Pegawai Penyelidik saman Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Penyelidik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammed Yusoff Rawther memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan gangguan seksual terhadapnya dipercayai berlaku pada 2018.

Muhammad Yusoff, 28, selaku plaintif memfailkan saman itu semalam di Mahkamah Tinggi di sini semalam melalui Tetuan Abdul Halim Ushah & Associates dengan menamakan Anwar, 73, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit defendan iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulangtahun tokoh Mahatma Gandhi yang ke-150, anjuran kedutaan India kepada defendan.

Plaintif mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya dan beliau juga menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan berkenaan.

Selepas kejadian itu, Muhammed Yusoff mendakwa tiada sebarang komunikasi antara mereka untuk tempoh lebih kurang sebulan, namun plaintif masih bekerja dengan defendan di pejabat itu sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman.

Plaintif yang meletakkan jawatan di Yayasan Aman pada 24 Jun 2019 berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember 2019 dan plaintif telah menjalani ujian ‘lie detector test/polygraph test’ di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman pada 17 Disember tahun sama.

Menurut Muhammed Yusoff, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan media menyatakan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mental plaintif kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik yang menyokong Anwar serta orang awam.

Dakwa plaintif gangguan terhadapnya telah memberikan impak kepada kesihatan mental sehingga perlu mendapatkan bantuan profesional ahli psikologi klinikal kerana mengalami trauma.

Justeru plaintif membuat tuntutan antaranya ganti rugi khas pada kadar RM180 setiap terapi, ganti rugi umum, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk serta relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Mahajoth Singh yang mewakili plaintif ketika dihubungi mengesahkan tuntutan saman itu difailkan semalam dan pihaknya masih belum menyerahkan salinan tuntutan saman kepada Anwar.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI