fbpx
PENGGUNAAN pintu kaca besar dan perabot ringkas di rumah tamu menjadikan kediaman itu tampak lebih luas dan ada kelas tersendiri.

Sentuhan mewah minimalis lebih kemas, praktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INTERPRETASI rumah yang mewah sering dikaitkan dengan perabot, peralatan dan aksesori sarat di dalam sesebuah kediaman.

Sebaliknya, banyak cara yang boleh ditonjolkan untuk menterjemahkan kemewahan kediaman itu tanpa perlu menghias berlebihan sehingga menyemakkan pandangan.

Sebenarnya, rumah yang terlampau sarat dengan perabot dan sebagainya adalah sangat tidak praktikal, malah memerlukan usaha berlipat kali ganda untuk membersih serta menjaga keseluruhan kediaman.

Sehubungan itu, Arif Latif Deco Design kali ini mengetengahkan dekorasi berkonsep mewah minimalis yang sangat praktikal dengan kehidupan rakyat Malaysia dan mudah untuk dijaga.

Menurut pemilik syarikat rekaan dalaman tersebut, Muhammad Arif Abd. Latif, ciri-ciri sesebuah rumah mewah itu mestilah luas, mempunyai sentuhan kesan emas atau berkilau dan juga penggunaan material mahal tanpa memerlukan dekorasi terlalu padat.

PENGGUNAAN kerusi dan meja makan yang tidak terlalu besar dapat menjimatkan ruang.

“Baru-baru ini, pasukan kami diberi tanggungjawab untuk membuat dekorasi rumah berkembar (semi-D) dua tingkat di Cyberjaya dengan menerapkan elemen mewah minimalis seperti diidamkan pemiliknya.

“Selepas melakukan perbincangan, pemiliknya mahukan warna cerah, kemas dan rekaan ringkas yang tidak terlalu padat,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Dalaman, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Justeru, pasukan Arif Latif Deco Design telah menggunakan cat putih untuk keseluruhan dinding, aksesori berona emas, begitu juga dengan wainscoting.

Bagi menonjolkan ciri-ciri mewah, mereka memasang keseluruhan cermin pada dinding utama di ruang tamu agar tampak luas serta ada kelas tersendiri.

Di ruang itu juga, Muhammad Arif bersama lima kakitangannya memasang kabinet televisyen dengan kemasan batu marmar.

“Kami menggunakan perabot sangat ringkas di ruang tamu iaitu dengan meletakkan sofa berbentuk L yang boleh memuatkan enam orang.

“Di samping itu, untuk langsir di aras bawah, kami menggunakan fabrik satin kelabu gelap berkilau.

“Kami meletakkan meja makan daripada material marmar serta lampu candelier berona emas,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

KABINET dapur daripada kayu nyatoh yang tahan lebih lama dan nampak mewah.

Sementara itu, di ruangan dapur juga didominasi dengan rona putih, manakala kabinetnya pula menggunakan kemasan kayu nyatoh solid yang kelihatan sangat mewah.

Di bahagian table top menggunakan kemasan marmar berona putih yang ringkas dan kemas.

Beralih di bahagian atas, ruang itu merupakan tempat mereka sekeluarga bersantai, menonton televisyen, berkaraoke mahapun bermain permainan video.

Bercerita lanjut mengenai dekorasi bilik tidur, Muhammad Arif memberitahu, di ruang tersebut dia
menerapkan elemen minimalis mewah yang sangat ringkas dan tidak terlalu sarat.

“Sebagai contoh di bilik tidur utama, pemilik mahukan ia kelihatan seperti hotel. Maka, kami memasang wainscoating, kemasan lapisan putih berkilau, cermin dan lampu dinding berona emas agar ia tampil mewah, tetapi dalam rupa yang sangat minimalis,” terangnya.