fbpx
Lukisan songket Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah menggunakan kepingan emas dan manik Swarovski. dan ptret Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah menggunakan kain songket kapas.

Sentuhan emas Darwisy hiasi dinding istana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pemuda mencipta nama menggunakan songket sebagai lukisan dalam menghasilkan potret sehingga mendapat perhatian istana bukan sahaja di Malaysia tetapi hingga ke Brunei.

Muhammad Darwisy Mustafani, 25, pernah menyiapkan lukisan potret Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah tempahan daripada Istana Negara, lukisan bunga daripada Istana Selangor serta potret Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tempahan daripada Istana Kedah.

Seterusnya potret Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu tempahan daripada Istana Pahang.

Terbaharu daripada Istana Brunei untuk potret Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah sempena Hari Puja Usia.

Muhammad Darwisy berkata, idea melukis di atas kain songket bermula sewaktu dia menerima tempahan daripada seorang pe­langgan yang mahu lukisan pemandangan.

“Sebelum ini saya melukis di atas kain batik dan satu hari, seorang klien hubungi saya nak tempah lukisan. Waktu itu saya cadangkan untuk nampak eksklusif, kenapa tidak kita gunakan songket bukan batik seperti kebiasaan.

“Dia pun bersetuju dan saya siapkan lukisan itu atas kain songket. Sejak itulah ia mendapat perhatian ramai sehinggalah saya menerima tempahan daripada pihak istana,” katanya yang dikenali sebagai Wisyilukis di media sosialnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pemuda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, untuk tempahan istana-istana ber­kenaan, setiap karya dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri, termasuk fabrik kain digunakan juga berbeza antara satu sama lain.

“Misalnya untuk tempahan Istana Negara dan Istana Kedah, lukisan ini menggunakan kain songket kapas, tempahan daripada Istana Selangor pula menggunakan songket sutera, Istana Pahang daripada kain tenun Diraja Pahang, manakala Istana Brunei adalah kain tenunan Silubang Bangsi disediakan pihak istana dan ia antara kain tenunan termahal,” katanya.

Muhammad Darwisy yang juga anak kelima daripada lapan beradik berkata, setiap tempahan itu juga mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk di­siapkan, bergantung kepada saiz.

“Tempahan daripada Istana Brunei misalnya, saya siapkan­nya dalam masa 20 hari. Saya perlu buat draf terlebih dahulu, buat lukisan digital sebelum diluluskan oleh pihak istana. Ditambah lagi ada perubahan dan penambahbaikan.

Katanya, lukisan potret berkenaan juga memerlukan tampalan kira-kira 1,000 manik Swarovski selain kepingan emas 999 yang dipotong sebanyak 52 bentuk, sebagai simbolik usia ke-52 Putera Mahkota Brunei.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Sains) Kepujian Senibina di sebuah universiti awam yang kini pelukis sepenuh masa, suka bereksperimen dengan melukis bukan hanya di atas kertas semata-mata, malah medium lain antaranya durian, kulit tembikai, pelitup muka, cakera padat dan kulit telur.

“Saya ada terima tempahan di negeri-negeri lain juga dan dalam masa setahun dua ini, sasaran saya mahu tempatkan lukisan di setiap istana di negeri-negeri di Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN