PASIR MAS – Polis menahan tiga beradik yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah selepas menemui sebanyak 8,000 biji pil kuda di kawasan semak dan 3.24 kilogram (kg) dadah jenis syabu di dalam batang paip polivinil klorida (PVC) di Kampung Tok Pelandok, Bukit Tuku di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12.50 tengah malam itu, polis menahan suspek pertama yang berusia 33 tahun semasa dia berada di hadapan kawasan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, sewaktu ditahan, polis telah melakukan pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek, namun tiada sebarang barang salah bersamanya.
Menurutnya, semakan di kawasan semak di hadapan rumah suspek telah membawa kepada penemuan bungkusan plastik berwarna ungu mengandungi sebanyak 2,000 biji pil kuda.
“Selepas itu, polis menjumpai satu tin cat tanpa penutup di atas tanah yang berada di kawasan semak bahagian belakang rumah mengandungi 6,000 biji pil kuda.
“Pemeriksaan terus dilakukan di lokasi itu dan hasilnya kita telah menemui satu batang paip PVC berongga yang ditutup dengan plastik berwarna merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, pemeriksaan di dalam batang paip PVC itu telah menjumpai syabu seberat 3.24 kg.
Katanya, suspek mengaku semua dadah yang dirampas itu miliknya.
Ujarnya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek negatif dadah, namun mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah.
Mohd. Nasaruddin berkata, susulan daripada rampasan itu, pihaknya telah berjaya menahan dua lagi lelaki yang merupakan abang kepada suspek pertama di lokasi sama pada pukul 2 petang semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan badan yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek berusia 40 dan 38 tahun itu tidak menjumpai sebarang dadah bersama mereka.
“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine. Kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah.
“Polis merampas wang tunai berjumlah RM4,000, dua buah kereta jenis Honda Civic dan Nissan Almera serta sebuah motosikal jenis Yamaha Y-15 turut disita,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta sama. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














