BACHOK – Seorang pelajar semester dua Politeknik Kota Bharu tergamam apabila atap rumahnya tercabut dan diterbangkan ribut ketika sedang mengikut kelas online dalam kejadian di Kampung Jalan Permatang Pasir, Gunung di sini semalam.
Kejadian pada pukul 4 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung dan atap zink rumah keluarga Mohd. Izham Shakirin Mohd. Ghazali, 20, terbang tinggi ke udara sebelum jatuh di belakang rumahnya.
Menurut Mohd. Izham, kejadian itu turut mengakibatkan bahagian ruang tamu, bilik tidur dan dapur rumah keluarganya kini terpaksa beratapkan langit ketika ini.
“Kejadian itu berlaku sekelip mata ketika saya sedang mengikuti kelas online di dalam bilik. Saya melihat ribut itu telah menerbangkan atap rumah kami sehingga menyebabkan kayu alang rumah terangkat.
“Saya bersama ahli keluarga yang lain segera mencari ruang yang lebih selamat kerana ribut itu diselangi dengan hujan lebat. Ketika itu, saya sempat menyelamatkan komputer riba yang digunakan semasa kelas online,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.
Mohd. Izham memberitahu, ketika kejadian ibunya, Siti Rokiah Awang Lah, 50, berada di tempat kerja di sebuah pasar raya di pekan Gunung. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














