fbpx

Agong serah Jalur Gemilang kepada kontinjen negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (dua dari kiri) berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Menteri Belia dan Sukan sebagai simbolik penerimaan bagi pihak kedua-dua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Istana Negara hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara hari ini.

Turut hadir pada majlis menghadap pukul 4 petang itu Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Baginda berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Menteri Belia dan Sukan sebagai simbolik penerimaan bagi pihak kedua-dua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.

“Pada sesi ini juga, Baginda berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan Kontinjen Negara di kedua-dua temasya tersebut,” kata Istana Negara.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kegigihan dan kecekalan serta kejayaan mereka melayakkan diri bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Baginda menzahirkan harapan atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik bagi menjulang nama Malaysia di persada dunia.

Selain itu, Baginda menzahirkan harapan para atlet dan pegawai sentiasa menjaga kesihatan ketika berada di kedua-dua temasya tersebut.

“Baginda menyeru seluruh rakyat mendoakan semoga atlet negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” kata kenyataan itu. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI