fbpx

Hati-hati varian India paling cepat merebak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Dr. Nurul Azmawati, situasi penularan Covid-19 di Malaysia masa kini semakin membimbangkan.

PENULARAN pandemik Covid-19 yang melanda dunia sehingga sekarang ternyata memberi kesan yang amat besar kepada kehidupan manusia sejagat.

Malaysia juga tidak terlepas daripada musibah itu dan kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan beberapa kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan virus tersebut dalam kalangan rakyat.

Pandemik Covid-19 di negara ini sekarang berada pada gelombang ketiga dan jumlah mereka yang positif semakin meningkat dari hari ke hari, lebih-lebih lagi dengan kemunculan beberapa varian baharu.

Dalam beberapa hari ini, jumlah kes positif tertinggi melebihi 8,000 sehari dan ini sesuatu yang amat membimbangkan semua pihak.

Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 yang berada pada tahap kritikal juga hampir penuh.

Pelbagai faktor yang mendorong kepada peningkatan penularan pandemik Covid-19 ini. Bagi membincangkan hal itu, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pakar Mikrobiologi Klinikal, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed.

KOSMO!AHAD: Bagaimana Dr. melihat keadaan penularan Covid-19 di negara ini pada masa ini. Adakah semakin membimbangkan atau masih boleh dikawal?

DR. NURUL AZMAWATI: Situasi penularan pandemik Covid-19 di negara kita pada masa ini agak parah kerana bilangan pesakit yang semakin meningkat sehingga menyebabkan fasiliti kesihatan berada dalam keadaan membimbangkan.

Jumlah katil ICU di Lembah Klang telah melebihi tahap maksimum penggunaannya.
Dewan-dewan bedah terpaksa ditukar menjadi ICU, manakala Pusat Rawatan Risiko Rendah terpaksa menerima pesakit kategori tiga yang sepatutnya dimasukkan ke hospital.

Jika keadaan berterusan begini, saya bimbang berlaku situasi para doktor perlu membuat keputusan sukar, siapakah yang perlu mereka pilih untuk dirawat di ICU.

Benarkah varian baharu dikatakan menjadi punca kes Covid-19 naik secara mendadak?

Saya melihat peningkatan kes positif berlaku atas beberapa faktor.

Ya, benar kemunculan varian baharu yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi adalah salah satu penyebabnya.

Selain itu, kita juga perlu ingat, sikap sambil lewa rakyat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang, selain penguatkuasaan tidak menyeluruh turut menyumbang kepada peningkatan kes positif.

Dalam pada itu, sebenarnya, kebanyakan kita kini sedang mengalami apa yang digelar sebagai kelesuan pandemik.

Ia adalah tindak balas yang dijangkakan akibat kesukaran berpanjangan disebabkan pandemik.

Rasa tidak puas hati, terasing dan putus asa adalah antara ciri-ciri kelesuan ini.

Apakah perbezaan varian asal Covid-19 dengan varian-varian baharu dari luar seperti varian India, United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan?

Virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 adalah virus jenis RNA.

Virus jenis RNA sebenarnya agak kerap mengalami mutasi kerana ia tidak mempunyai kebolehan untuk mengenal pasti perubahan genetik semasa proses pembiakan.

Justeru, virus baharu yang dihasilkan (mutasi) mungkin mempunyai susunan genetik sedikit berbeza daripada yang asal. Kita perlu ingat, tidak semua mutasi menyebabkan virus lebih ‘ganas’.

Ada mutasi yang tidak memberikan apa-apa kesan dan ada juga menyebabkan virus menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Varian bermaksud virus yang mempunyai genetik sedikit berbeza daripada asal. Contohnya, varian UK B.1.1.7, varian Afrika Selatan B.1.351 dan varian India B1617.

INILAH rupa virus Covid-19 varian India yang dikatakan mempunyai kebolehjangkitan tinggi berbanding varian lain. – GAMBAR HIASAN

Boleh terangkan tentang varian India, UK dan Afrika Selatan secara lebih mendalam?

Terdapat persamaan antara varian UK B.1.1.7, Afrika Selatan B.1.351 dan India B1617 yang mana ketiga-tiganya mempunyai perubahan pada struktur protein spike.

Struktur ini adalah penting bagi virus untuk melekat pada sel tubuh manusia.

Mutasi menyebabkan kesemua varian ini mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi daripada virus asal kerana ia lebih mudah melekat pada sel manusia.

Varian India bagaimanapun menunjukkan kebolehanjangkitan lebih tinggi berbanding UK dan Afrika Selatan.

Ini kerana, varian ini mempunyai tiga mutasi (triple mutant) dan dua daripadanya melibatkan struktur protein spike.

Mutasi ketiga pula masih dalam kajian, tetapi berkemungkinan mempunyai keupayaan untuk mengelak atau mengaburi sistem imuniti badan seseorang.

Setakat ini, belum dibuktikan secara saintifik bahawa varian-varian ini menyebabkan jangkitan yang lebih teruk, jangkitan kepada kanak-kanak dan juga membawa banyak kematian.

Adakah varian baharu ini adalah super spreader atau perebak utama?

Super spreader bermaksud apabila seseorang mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menjadi agen bagi virus itu merebak dengan cepat.

Keadaan ini dipengaruhi oleh faktor virus, manusia dan persekitaran.

Virus yang mengalami mutasi seperti varian B1617 (India) mempunyai kebolehjangkitan yang sangat tinggi.

Seseorang yang dijangkiti boleh menjadi super spreader sekiranya dia tidak mematuhi SOP seperti gagal memakai pelitup muka serta tidak mencuci tangan dengan betul.

Persekitaran juga boleh menyebabkan kadar jangkitan super spreader yang tinggi termasuk kawasan tertutup dan penggunaan pendingin hawa.

Adakah suntikan vaksin mempunyai ketahanan terhadap varian-varian baharu ini?

Mengenai keberkesanan vaksin, kajian terperinci sedang dijalankan oleh pengeluar pelbagai jenis vaksin.

Setakat ini dilaporkan bahawa ada vaksin yang efektif terhadap varian dan ada juga dilaporkan kurang berkesan.

Ini bermakna, ada yang mendapat jangkitan varian ini selepas menerima vaksin Covid-19, contohnya apa yang berlaku di India baru-baru ini.

Walaupun ada kajian menunjukkan keberkesanan vaksin sedikit berkurang terhadap varian, tetapi ia masih boleh melindungi kita daripada mendapat jangkitan lebih teruk.

Justeru, kita jangan takut vaksin, tetapi takutlah kepada jangkitan Covid-19 dan komplikasinya.

Boleh terangkan tentang kategori pesakit Covid-19?

Secara umumnya, pesakit Covid-19 terbahagi kepada lima kategori.

Kategori satu merujuk kepada pesakit atau mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala (simptom).

Pesakit yang termasuk dalam kategori dua pula mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, muntah, cirit-birit, sakit tekak dan sakit otot.

Mereka juga berkemungkinan kehilangan deria bau dan rasa.

Kategori seterusnya merujuk kepada pesakit bergejala sama seperti mereka yang berada dalam kategori dua, tetapi mempunyai radang paru-paru atau dipanggil pneumonia.

Pesakit jenis ini bagaimanapun tidak memerlukan bantuan oksigen.

Pesakit dalam kategori empat pula adalah yang bergejala, mempunyai radang paru-paru serta memerlukan bantuan oksigen.

Kategori terakhir ataupun kategori lima ialah pesakit kritikal, bergejala serius dan memerlukan bantuan pernafasan serta rawatan di ICU.

Sebenarnya, 80 peratus daripada pesakit Covid-19 adalah dalam kategori satu dan dua. Lebih 15 peratus pula dalam kategori tiga.

Dalam kalangan pesakit Covid-19, jangkitan dan radang paru-paru boleh berlaku, menyebabkan mereka dalam kategori dua bertukar menjadi kategori tiga.

Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan warga emas, risiko komplikasi yang teruk adalah tinggi.

Risiko daripada kalangan golongan rentan untuk berada dalam kategori empat dan lima adalah lebih tinggi dibandingkan dengan golongan lain.

Golongan rentan termasuk orang kelainan upaya (OKU), warga emas, pesakit dialisis dan kanser serta kumpulan berpenyakit kronik dan berimuniti rendah.

Secara amnya, kategori tiga tidak memerlukan rawatan, tetapi perlu dipantau dengan baik.

Antara pemantauan yang dilakukan adalah pemeriksaan tekanan darah, kadar pernafasan dan juga kepekatan oksigen dalam darah.

Ini disebabkan, mereka berisiko untuk mendapat jangkitan lebih teruk dan memerlukan bantuan oksigen.

Apabila mereka berada di pusat kuarantin, mudah bagi kakitangan perubatan untuk mengesan dan memberi rawatan awal supaya tidak berlaku komplikasi teruk.

Dalam kalangan golongan rentan yang berisiko tinggi pula, pemantauan lebih kerap perlu dilakukan.

DR. NURUL AZMAWATI menjelaskan, seseorang yang dijangkiti boleh menjadi super spreader sekiranya tidak mematuhi SOP seperti gagal memakai pelitup muka serta tidak mencuci tangan dengan betul.

Adakah kuarantin kendiri di rumah bagi pesakit kategori satu dan dua boleh sembuh daripada Covid-19?

Seperti kebanyakan jangkitan virus lain, Covid-19 boleh sembuh sendiri tanpa sebarang ubat.

Sebab itulah, pesakit kategori satu dan dua dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Namun, keadaan rumah perlulah sesuai supaya proses kuarantin dapat dijalankan dengan berkesan.

Adalah menjadi keperluan utama individu positif duduk di rumah yang mempunyai bilik berasingan dengan penghuni lain, terutamanya jika isi rumah mereka dalam kalangan yang negatif dan belum dijangkiti.

Seelok-eloknya, rumah perlu mempunyai bilik air berasingan daripada penghuni lain.

Sekiranya berkongsi bilik air, selepas penggunaannya, hendaklah melakukan proses nyahkuman dengan cecair hipoklorit (Clorox) dan mencuci tangan dengan sabun.

Apakah nasihat Dr. kepada mereka di luar sana dalam bersama menangani pandemik Covid-19?

Kita perlu terus melaksanakan tanggungjawab untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Paling penting amalkan penjarakan fizikal, selalu mencuci tangan, mengelakkan sentuhan fizikal dan pemakaian pelitup muka harus dilakukan sepanjang masa.

Jangan ambil ringan kaedah-kaedah pencegahan ini walaupun kita semua telah kelesuan menghadapi pandemik ini sejak setahun lalu.

Terbaharu, pihak berwajib juga mencadangkan pemakaian double mask iaitu pelitup muka pembedahan di bahagian dalam dan pelitup muka fabrik di luar.

Ini telah dibuktikan oleh kajian yang mendapati, pemakaian dua pelitup muka meningkatkan lagi kadar perlindungan.

Selain itu, jika tiada keperluan mendesak, kita tidak perlu keluar rumah.
Pastikan juga rumah anda mempunyai ventilasi yang baik dan buka semua pintu dan tingkap supaya cahaya dapat masuk ke dalam rumah.

Selain itu, makan makanan seimbang dan lakukan senaman ringan.

Ini semua penting untuk menguatkan sistem imuniti badan kita.

Sekiranya rindukan ibu bapa dan adik-beradik, buat panggilan video dan tidak perlu berjumpa walaupun rumah mereka terletak berhampiran bagi mencegah penularan virus yang semakin ‘menggila’ sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI