fbpx

72 warga asing langgar SOP dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen telah menyerbu sebuah bangunan di Pudu, Kuala Lumpur dan menahan 72 warga asing, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati majoriti warga asing yang menghuni premis tersebut tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

“Malah ia berada dalam keadaan kotor selain kemudahan seperti lif, lampu tangga dan koridor tidak berfungsi dengan sempurna serta kawasan dalam bangunan dipenuhi sampah dan berbau busuk.

“Lokasi ini juga dipercayai menjadi sarang pelacuran yang melibatkan wanita warga asing dan pernah beberapa kali diserbu sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 245 orang individu telah diperiksa dan mereka yang ditahan terdiri daripada 43 lelaki dan 29 wanita berusia antara 25 dan 50 tahun.

Katanya, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang dinding yang telah diubah suai namun semua percubaan itu berjaya digagalkan pegawai operasi.

Tambahnya, pegawai operasi turut terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakan penghuni tidak memberikan kerjasama dan bertindak bersembunyi di dalam rumah serta memadamkan lampu.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tinggal melebihi masa.

“Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI