fbpx

Tuah iringi Sepanyol ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIKEL Oyarzabal melompat sambil memeluk penjaga gol, Unai Simon selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Switzerland pada aksi suku akhir Euro 2020 di Stadium Krestovsky, Saint Petersburg sebentar tadi. -AFP

SAINT PETERSBURG – Aksi dramatik terus disajikan pada Euro 2020 apabila Sepanyol berjaya menewaskan Switzerland 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir di Stadium Krestovsky sebentar tadi.

Pada aksi permainan sebenar yang berlarutan sehingga ke masa tambahan, kedua-dua pasukan terikat 1-1, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Skuad La Roja menampilkan aksi menyerang sejak wisel permulaan dibunyikan dan ia membuahkan hasil apabila mereka memperoleh gol pendahuluan menerusi jaringan sendiri Dennis Zakaria pada minit kelapan selepas tertampan percubaan Jordi Alba.

Gol tersebut nyata membangkitkan semangat Sepanyol untuk terus melancarkan serangan ke arah pintu gol Switzerland, namun gagal menewaskan penjaga gol, Yann Sommer.

Meskipun perlawanan bertambah rancak, namun kedua-dua pasukan dilihat mengambil pendekatan lebih berhati-hati sebelum aksi separuh masa pertama berakhir dengan 1-0.

Bersambung separuh masa kedua, Switzerland yang dibimbing Vladimir Petkovic tidak membazirkan masa apabila terus melancarkan serangan sebaik perlawanan dimulakan dan beberapa kali menguji penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.

Kerja keras yang dilakukan Switzerland akhirnya membuahkan hasil apabila Xherdan Shaqiri meledak gol penyamaan pada minit ke-68 selepas menerima hantaran Remo Freuler yang mengambil kesempatan atas kesilapan barisan pertahanan Sepanyol.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi skuad La Nati itu apabila Freuler diarah keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari Gerard Moreno pada minit ke-78.

Keadaan itu memaksa Switzerland bermain secara bertahan kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat 90 minit permainan, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sepanjang 30 minit aksi masa tambahan, Sepanyol dilihat pasukan yang lebih berbahaya apabila banyak melakukan serangan ke arah pintu gol Switzerland, namun dinafikan oleh kecekapan Sommer.

Pada aksi penentuan sepakan penalti, pemain tengah Sepanyol, Mikel Oyarzabal menjadi wira pasukan itu apabila meledak gol kemenangan, sekali gus membawa La Roja mara ke separuh akhir.

Switzerland pastinya kecewa dengan kekalahan itu, namun mereka perlu menyalahkan diri sendiri apabila tiga pemainnya gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI