fbpx
SOUTHGATE dijangka menggunakan strategi berbeza apabila bertembung dengan pasukan Ukraine pada suku akhir Euro 2020 di Stadio Olimpico awal pagi esok. - AFP

England bakal guna strategi berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM – Ketua jurulatih England, Gareth Southgate sudah mencongak strategi terbaik bagi memastikan pasukannya mara ke pusingan separuh akhir menje­lang aksi menentang Ukraine di pentas suku akhir Euro 2020 di Stadio Olimpico awal pagi esok.

Sebagai rekod, England telah melakukan perubahan taktikal ketika bertemu Jerman di pentas 16 terbaik awal minggu ini de­ngan mempertaruhkan formasi 3-4-3 berbanding 4-3-3 pada aksi di peringkat kumpulan.

Kata Southgate, apa sahaja strategi yang direncanakan pada aksi bertemu Ukraine nanti sudah pasti diharap dapat memberi impak positif buat pasukan dalam usaha melakar kemena­ngan sekali gus melangkah ke pusingan seterusnya.

“Saya sudah merancang strategi ampuh untuk aksi bertemu Ukraine nanti dengan memperbaiki kelemahan pasukan di posisi tertentu dan saya berharap pasukan dapat meneruskan momentum cemerlang se­perti aksi bertemu Jerman yang lepas.

“Tidak kira formasi 3-4-3 atau 4-3-3, saya yakin anak-anak buah saya mudah menyesuaikan diri, sekali gus menampilkan corak permainan agresif sejurus wisel ditiupkan bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan.

“Selain itu, saya turut memberi penekanan kepada pemain agar lebih berani mengawal bola dengan melakukan hantaran pendek dan tidak terlalu bergantung harap kepada hantaran jauh seperti yang menjadi kelaziman buat pasukan England.

“Justeru, apa yang pasukan pamerkan sepanjang kempen Euro 2020 ini menepati piawaian yang saya kehendaki khususnya dari aspek pertahanan dan berharap mereka terus mempamerkan konsisten kerana kami mahu melangkah jauh pada saingan kali ini,” katanya.

Sebagai rekod, perlawanan awal pagi esok menjadi aksi pertama buat skuad Three Lions bermain di luar negara selepas semua empat perlawanan yang diharungi pada Euro 2020 dilangsungkan di Stadium Wembley.

Sementara itu, kapten England yang juga penyerang utama, Harry Kane terus tekad menutup mulut pengkritik dalam usaha memacu pasukan mencapai kemenangan khususnya apabila kelibatnya dalam kesebelasan utama sebelum ini dipertikai.

“Saya pasti jurulatih (Southgate) ada perancangan tersendiri dan alasan kenapa saya masih diletakkan dalam kesebelasan utama dan secara peribadi, saya tidak menjadikan situasi itu sebagai tekanan.

“Sebaliknya, kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan serta rakan-rakan sepasukan membuatkan saya lebih bersemangat untuk mem­buru jaringan dan berharap dapat memburu gol pada aksi menentang Ukraine nanti,” katanya. – AGENSI

POPULAR