fbpx

Masakan panas sotong, udang lebih murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UDANG galah lemak cili api merupakan menu signatur di Kacak.

PEMINAT makanan laut premium seperti udang kara bunga, sotong, udang harimau, udang galah dan salmon tidak perlu khuatir apabila tidak dapat ke Sabah pada masa ini kerana Restoran Kacak Premium Seafood (Kacak) menghidangkan semua menu tersebut pada harga berpatutan.

Restoran itu membawa kesemua makanan laut khusus dari Negeri di Bawah Bayu itu dengan bekalan diperoleh dari Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kota Kinabalu.

Salah seorang pengusaha Kacak, Alias Talip, 37, yang juga anak jati Sabah berkata, kesemua bekalan bahan mentah itu dibawa masuk dari negeri terbabit menggunakan kontena dengan kekerapan dua hingga tiga kali seminggu.

Bagi menjamin kesegarannya tambah Alias, kesemua bahan mentah itu dibungkus dalam tempoh 24 jam ia ditangkap oleh nelayan.

“Di restoran ini, menu signatur kami ialah udang galah masak lemak cili api, selain ketam telur masin dan masak cili.

“Kami turut menyajikan hidangan aneka pasta, chicken chop dan kambing bakar untuk pilihan pelanggan di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

ALIAS menunjukkan pilihan set makan tengah hari yang disediakan sepanjang PKP 3.0 ini.

Bercerita mengenai restoran yang terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu, Alias memberitahu, ia merupakan kerjasama antara tiga orang sahabat dengan latar belakang berbeza.

Katanya, restoran itu belum sampai setahun dibuka, tetapi mempunyai pelanggan tetap iaitu mereka yang biasa mendapatkan bekalan hasil laut yang dijualnya sebelum ini.

“Sebelum membuka restoran ini, saya menjual hasil laut dan daripada situ, saya bertemu dengan pelanggan baharu.

“Mereka mencadangkan untuk saya membuka restoran kerana mahu menikmati hidangan segar yang siap dimasak.

“Bertitik tolak daripada situ, saya bersama dua lagi rakan sepakat untuk merealisasikan impian tersebut yang akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya lagi.
Pembukaan restoran pada 10 Oktober 2020 iaitu dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan membuatkan mereka perlu bertindak lebih kreatif bagi memperkenalkan menu disediakan kepada orang ramai.

RESTORAN Kacak Premium Seafood yang dibuka tahun lalu beroperasi di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Kekerapan mempromosikan menu makanan laut premium pada harga mampu milik menerusi media sosial, ditambah dengan cara masakan yang istimewa membuatkan nama Kacak semakin dikenali dalam kalangan peminat makanan laut.

Malah, promosi secara mulut ke mulut yang dilakukan oleh mereka yang pernah menikmati hidangan ini membuatkan restoran ini mampu bertahan walaupun kini negara sekali lagi melalui PKP 3.0 hingga 14 Jun ini.

“Pengalaman PKP 2.0 dahulu membuatkan kami lebih bersedia untuk meneruskan perniagaan ketika ini.

“Selain boleh membuat tempahan menerusi online atau datang sendiri untuk dibawa pulang, kami juga menggunakan khidmat penghantaran Food Panda, Lalamove dan Mr Speedy.

“Selain itu, kami juga membuka tempahan secara pool order dan memberikan perkhidmatan penghantaran secara percuma ke beberapa kawasan. Setakat ini, paling jauh kami hantar adalah ke Cyberjaya dan Puncak Alam serta Jeram di Kuala Selangor,” ujarnya.

Selain menerima tempahan berasaskan menu disediakan, Kacak turut menyajikan hidangan kombo makan tengah hari.

KETAM buttermilk enak dimakan begitu sahaja.

Ini bagi memudahkan pelanggan datang dan balik dengan cepat, tanpa perlu menunggu terlalu lama bagi mendapatkan menu kegemaran dan pilihan mereka.

“Kita faham, waktu rehat makan tengah hari terhad dan orang pun tidak mahu menunggu terlalu lama.

“Jadi, kami sediakan set hidangan berupa nasi putih dengan pilihan sotong, ayam atau udang goreng kunyit yang dihidangkan bersama sup, kicap dan sambal istimewa.

“Set ini juga menjadi pilihan mereka yang bekerja di pejabat apabila tidak boleh keluar makan di restoran kerana ia lebih cepat, ringkas dan berkhasiat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI