fbpx
KISAH pertolongan abang minyak hitam jalanan dan kejujuran Dicky menarik perhatian pengguna media sosial.

Tidak perlu tunggu kaya untuk buat baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMUANYA bermula pada tengah malam 17 April lalu. Kisah kecil yang cukup sederhana tetapi penuh inspirasi daripada dua insan berhati murni.

Seorang bekerja sebagai ‘pomen’ bergerak dikenali Abang Minyak Hitam Jalanan, manakala seorang lagi lelaki berbangsa Cina yang mesra disapa Dicky.

Mereka tidak saling mengenali, tetapi asbab kepada sebuah kejadian yang berlaku di jalanan, Abang Minyak Hitam dan Dicky kini menjadi sorotan publik atas segala keikhlasan yang dipamerkan.

Pertemuan mereka juga bukan dirancang, jauh sekali diatur untuk perhatian umum. Ia hadir secara spontan, mencerminkan bahawa masih ramai lagi manusia-manusia baik yang hidup dalam lingkungan kita sebagai rakyat Malaysia.

Abang Minyak Hitam Jalanan bukanlah nama asing bagi pengguna media sosial.

Dengan tangan yang sering berlumur minyak hitam, dia cukup dikenali sebagai insan yang sering membantu penunggang motosikal yang terkandas.

Sesuatu yang menarik, ada kalanya khidmat yang diberikan oleh lelaki ini adalah percuma. Tidak perlu dibayar, tidak perlu berhutang dan semuanya dibuat tanpa mengharapkan balasan.

Abang Minyak Hitam Jalanan hadir sebagai ‘penyelamat kecil’ buat mereka yang memerlukan, ketika pelbagai isu mengenai kelangsungan hidup kini dirasai majoriti golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Dicky pula dikenali sebagai individu yang sangat jujur, sanggup merantau jauh dari Tawau, Sabah untuk mencari rezeki dengan bekerja di sebuah restoran demi kelangsungan hidup anaknya.

Sikapnya yang ramah dan penuh kejujuran menjadikan Dicky disenangi ramai, walaupun dia tidak pernah meminta untuk dikenali.

Berbeza dengan kisah tular sebelum ini, kisah dua lelaki berlainan bangsa ini meledak kerana sebuah ketulusan. Mereka ada persamaan, iaitu rakyat dari golongan biasa yang bertarung hidup untuk keluarga.

Netizen termasuk ahli politik, menteri dan pemimpin negara melihat kisah dua lelaki ini sebagai sesuatu yang jarang berlaku.
Ia tentang hubungan manusia yang saling menghormati, tanpa ada yang mengambil kesempatan.

Abang Minyak Hitam Jalanan dan Dicky membuktikan bahawa setiap individu mempunyai peranan untuk mencorakkan dunia yang lebih baik.

Ironinya, kisah mereka mengajar kita tentang erti bersyukur. Tidak perlu menunggu menjadi kaya atau berpengaruh untuk membantu orang lain.

Bagi yang menerima bantuan, ada had yang perlu dijaga dan paling penting, sentiasa beringat bahawa rezeki itu tidak datang bergolek, tetapi perlu diusahakan atas kaki sendiri.
Akhirnya, kisah ini wajar dijadikan cerminan buat kita semua.

Jika dua manusia baik boleh bertemu dan menyebarkan kebaikan tanpa syarat, mengapa tidak kita?

Dunia ini mungkin tidak sempurna, tetapi dengan lebih ramai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ dan ‘Dicky’, ia pasti menjadi tempat yang lebih indah untuk didiami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN