fbpx

Dua kes bunuh diri dilaporkan setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Secara purata sebanyak dua kes bunuh diri direkodkan setiap hari di negara ini bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 609 kes pada tahun 2019 manakala 631 kes pada tahun 2020.

“Bagi tempoh lima bulan pertama iaitu Januari hingga Mei tahun 2021 pula sebanyak 468 kes bunuh diri telah direkodkan.

“Ini menyaksikan secara purata sebanyak dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jika dilihat dari segi jantina, kaum wanita lebih tinggi dilaporkan membunuh diri iaitu seramai 1,427 orang berbanding kaum lelaki seramai 281 orang.

“Remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun memperlihatkan golongan paling ramai terlibat kes ini iaitu 872 orang berbanding mereka yang berumur 19 hingga 40 tahun iaitu 668 orang.

“Negeri Johor pula mencatatkan kes bunuh diri tertinggi pada tahun 2019 dan tahun 2020 iaitu sebanyak 101 kes, manakala pada tahun 2021 (Januari hingga Mei 2021), negeri Selangor pula memonopoli kes tertinggi iaitu sebanyak 117 kes,” ujarnya.

Jelas beliau, masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan didapati tiga punca utama yang mendorong mangsa mengambil keputusan untuk membunuh diri.

“Cara atau kaedah membunuh diri yang kerap berlaku berdasarkan statistik PDRM adalah gantung diri sebanyak 75.1 peratus, terjun bangunan (13.6 peratus) dan minum racun 5.7 peratus.

“Berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini.

“Individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya haruslah diberi bantuan serta sokongan daripada pihak keluarga dan rakan-rakan terdekat,” ujarnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI