fbpx
JUN HOONG

Jun Hoong lolos ke Olimpik Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA menempah satu lagi slot ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo bulan depan selepas penerjun negara, Cheong Jun Hoong diberikan tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Keputusan badan induk sukan renang dunia itu nyata mengejutkan memandangkan mereka menyatakan Jun Hoong tidak layak ke Sukan Olimpik selepas terdapat beberapa perubahan dalam peraturan kelayakan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan atlet berusia 31 tahun itu sudah pun mengesahkan tempat ke temasya sukan empat tahun sekali itu secara merit.

“FINA sudah membuat keputusan Jun Hoong layak ke Sukan Olimpik Tokyo secara merit. Ia berdasarkan keputusan yang diraih pada Piala Dunia sebelum ini di kedudukan ke-18.

“Menerusi penyertaan Jun Hoong, kini kita akan diwakili oleh lima penerjun di Tokyo nanti termasuk Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter.

Terdahulu, FINA mendakwa ada perubahan dalam peraturan kelayakan kuota individu di mana hanya 12 slot sahaja ditawarkan berbanding 18 tempat yang ditetapkan sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) supaya meneliti semula kriteria kelayakan acara terjun yang diubah sebelum Piala Dunia bulan lalu.

Tindakan MOM nyata membuahkan hasil apabila berjaya memaksa Fina melakukan pusingan U, sekali gus memastikan Jun Hoong yang juga bekas juara dunia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada kali ini.

POPULAR