fbpx

Varian Delta ancam Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa petugas kesihatan melakukan kerja-kerja sanitasi di jalan raya di Solo, semalam. – AFP

JAKARTA – Indonesia melaporkan bilangan kes Covid-19 tertinggi, manakala banyak khemah dibina di luar hospital-hospital sebagai persediaan menghadapi lonjakan jangkitan di negara itu, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Lebih membimbangkan, mereka yang menerima suntikan vaksin buatan China juga jatuh sakit akibat dijangkiti varian India (Delta).

Di Jakarta, pihak berkuasa  telah mula memasang sejumlah khemah yang akan digunakan sebagai bilik kecemasan untuk pesakit Covid-19.

“Bilik kecemasan sedia ada ditukar menjadi wad untuk menempatkan pesakit Covid-19,” kata Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin kelmarin.

Beliau berkata,  tiga buah hospital di Jakarta iaitu Hospital Fatmawati, Hospital Persahabatan dan Hospital Pusat Jangkitan Sulianti Saroso kini diletakkan di bawah pengawasan langsung Kementerian Indonesia dan hanya akan menerima pesakit Covid-19.

“Kita turut mempunyai bekalan oksigen mencukupi untuk semua pesakit.

“Buat masa ini, hanya suku daripada kapasiti penghasilan oksigen keseluruhan digunakan untuk tujuan perubatan dan banyak lagi boleh dihasilkan,” ujarnya.

Indonesia mencatatkan lebih 20,000 kes Covid-19 pada Khamis lepas, dan angka itu sedikit menurun kepada 18,872 kes kelmarin.

Bagaimanapun, katil-katil hospital untuk pesakit Covid-19 merekodkan kapasiti penuh sebanyak 67 peratus di seluruh negara, namun di Jakata, kadar tersebut adalah melebihi 90 peratus. 

Situasi buruk itu adalah disebabkan oleh penularan varian Delta di negara itu yang merebak dengan pantas di Pulau  Jawa.

Ia didorong oleh sambutan Aidilfitri baru-baru ini selepas penduduk tetap berdegil dan enggan mematuhi larangan pulang ke kampung serta melakukan pergerakan besar-besaran di seluruh negara. 

Lebih memburukkan keadaan, sejumlah  doktor dan petugas kesihatan turut dijangkiti wabak itu meskipun selepas menerima vaksin Sinovac. Vaksin itu digunakan selepas penghantaran vaksin Covid-19 tertangguh.. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI