fbpx
Tekanan emosi sering berlaku jika seseorang ‘terkurung’ dalam tempoh yang lama di rumah akibat PKP. – GAMBAR HIASAN

Tekanan lockdown kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Anak-anak sering mengamuk, tidak mende­ngar cakap ibu bapa dan bertukar menjadi seorang pendiam.

Itu antara perubahan negatif dalam kalangan kanak-kanak yang dikesan ibu bapa ekoran pelaksanaan beberapa siri ­Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu termasuk lanjutan tempoh total lockdown sehingga 28 Jun ini.

Pelaksanaan PKP menyebabkan mereka yang dahulunya bebas bermain bersama rakan sebaya, namun kini terpaksa ‘dikurung’ di dalam rumah sahaja.

Penggunaan gajet tanpa kawalan mengundang kesan yang lebih buruk terhadap emosi dan kesihatan mental kanak-kanak.


Sebelum virus Covid-19 menyerang negara ini, kanak-kanak bebas bermain bersama rakan-rakan sebaya mereka. – GAMBAR HIASAN

Seorang peniaga, Muhammad Khairul Nizam Ahmat, 33, me­ngakui terdapat perubahan ketara dalam diri anak lelakinya yang berusia 9 tahun apabila dia kini seperti mengalami ketagihan terhadap penggunaan gajet.

“Sebelum ini, saya dan isteri memang mengehadkan masa penggunaan tablet, namun sejak anak sulung kami itu mengikut sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), saya mula memberikan kelonggaran kepadanya.

“Pada mulanya saya sangka dia belajar, rupa-rupanya sedang bermain permainan video di tablet dengan kawan-kawan,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Muhammad Khairul Nizam berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu juga kelihatan gelisah apabila tidak boleh berenggang dengan gajet.

“Paling ketara apabila bangun pagi, dia terus cari tablet. Dia juga akan mengamuk serta merajuk apabila mengetahui kami sorokkan gajet itu sehingga enggan makan dan hanya berkurung di dalam bilik.

“Dahulu dia tidak bersikap sebegini, mungkin kerana boleh keluar berjumpa kawan-kawan dan melakukan aktiviti lain, namun sekarang terpaksa terpe­rap di dalam rumah dan hiburannya hanya bermain gajet,” ujarnya.

Seorang penjawat awam, Nur Marlianna Abdullah, 37, berkata, sejak pelaksanaan PKP tahun lalu, dia dan suami hanya bekerja dari rumah (BDR) dan merasakan ia sesuatu yang bagus kerana dapat menjaga dua anak lelaki mereka yang berusia 4 dan 7 tahun.

Bagaimanapun, katanya, sejak PKP Penuh hampir sebulan lalu, dia perasan yang kelakuan anaknya mula berubah.

Gambar hiasan

“Mereka kerap mengamuk dan bergaduh sesama sendiri mengenai perkara-perkara remeh dan kecil. Perkara itu langsung tidak pernah terjadi sebelum ini,” katanya.

Menurut Nur Marlianna, pada mulanya, dia dan suami menganggap pergaduhan itu adalah perkara biasa untuk kanak-kanak kecil, namun mula risau apabila anak lelakinya yang berusia 7 tahun tiba-tiba menjadi pendiam dan menunjukkan reaksi tidak berminat kepada semua benda.

“Si abang mula kurang bercakap, malah seperti cuba mengelak daripada bercakap dengan kami sejak awal Jun lalu. Walaupun sudah berkali-kali kami bertanya sekiranya mempunyai masalah, dia tetap menggeleng kepala mengatakan tiada apa-apa.

“Saya akui yang BDR ju­ga mempunyai cabarannya tersendiri, mungkin kurang perhatian daripada kami atau mereka tidak dapat bergaul dan bermain dengan rakan sebaya sehingga memberi kesan kepada perubahan emosi,” katanya.

Bukan semua budak berupaya menyerap tekanan

PETALING JAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown yang terlalu lama sememangnya memberi kesan kepada emosi sosial golongan kanak-kanak.

Pensyarah Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata, antara kesannya seperti gelisah, merengek dan terlalu leka bermain gajet.

Katanya, sejak PKP dilaksanakan tahun lalu menerusi pelbagai siri, kanak-kanak tidak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan mereka sehingga mendatangkan kebosanan duduk di rumah.

“Mereka juga terpaksa melalui pembelajaran secara online di rumah sahaja akibat sekolah-sekolah terpaksa ditutup dan tiada aktiviti sosial boleh dilakukan.

“Ibu bapa perlu faham bahawa tidak semua kanak-kanak mampu beradaptasi secara positif semua perubahan atau tekanan ini.

“Jika ibu bapa sendiri terlalu sibuk bekerja dan anak-anak dibiarkan tanpa bimbingan sepanjang ‘terkurung’ di rumah, ia mampu memberi kesan kepada kesihatan emosi serta mental mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Abdul Rahman

Abdul Rahman berkata, sebelum ini banyak pihak yang bimbangkan bahana PKP kepada golongan dewasa antaranya seperti kehilangan pekerjaan, namun ramai yang terlepas pandang impak negatif yang akan berlaku kepada kanak-kanak.

“Bayangkan anak-anak daripada keluarga kurang berkemam­puan yang memiliki adik-beradik ramai, rumah sempit, tiada privasi dan tidak boleh keluar untuk bersosial a­kibat PKP, ia sudah pasti me­ngundang tekanan kepada mereka,” ujarnya.

Abdul Rahman memberitahu, ibu bapa perlu memainkan pe­ranan sebagai penyampai maklumat yang tepat kepada anak-anak.

Katanya, pelaksanaan PKP mungkin sesuatu yang baharu kepada anak-anak terutamanya mereka yang berusia di bawah 12 tahun yang masih mengalami kesukaran untuk membiasakan diri terhadap sebarang perubahan dalam persekitaran.

“Terangkan mengapa adanya PKP dan apa tujuannya serta apa yang boleh mereka lakukan di rumah agar tidak rasa bosan. Ibu bapa juga perlu merancang akti­viti berfaedah bersama anak-anak sepanjang tempoh PKP,” ujarnya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu mengawal had penggunaan gajat anak-anak agar mereka tidak terlalu ‘akrab’ dengan pera­latan elektronik itu sehingga tidak bergaul dengan keluarga.

“Ibu bapa tidak boleh menganggap semuanya berjalan lancar kerana bukan semua perkara akan dikongsikan anak-anak dengan kita.

“Mereka yang tidak bersuara bukan bermaksud tiada masalah, layan emosi mereka dan jangan ambil mudah kea­daan psikologi kanak-kanak walaupun anak yang paling kecil,” ujarnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN