fbpx

Masjid, surau Selangor bantu kesedaran daftar, ambil vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memperkasakan peranan ahli jawatankuasa masjid dan surau di Selangor dalam membantu meningkatkan tahap kesedaran pendaftaran vaksin di kalangan ahli kariah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, langkah itu dilaksanakan hasil kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan peranan masjid dan surau perlu dipertingkatkan bukan sahaja sebagai tempat beribadah malahan sebagai pusat rujukan utama oleh ahli kariah masjid atau surau berkenaan.

“Ini termasuklah masjid dan surau sebagai pusat informasi dan penyebaran maklumat yang sahih kepada masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengambil vaksin Covid-19.

“Walaupun aktiviti-aktiviti bersemuka di masjid atau surau amatlah terhad, namun aktiviti secara atas talian boleh dilaksanakan secara meluas seperti bacaan al-Quran, ceramah, tazkirah dan sebagainya bersama ahli kariah, termasuk perkongsian dan seruan berkaitan pengambilan vaksin melalui atas talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MAIS berpandangan, keputusan yang dibuat ini juga sangat diberikan penekanan dalam Islam iaitu hifzu al-nafs, memelihara nyawa.

Ujarnya, umat Islam disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dan mengharamkan perbuatan yang akan menyebabkan nyawa terancam serta berada dalam kebinasaan.

“MAIS melihat tindakan kerajaan Persekutuan dan negeri menyediakan vaksinasi kepada rakyat adalah usaha murni yang perlu disokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kita turut menyokong usaha membangunkan vaksin sendiri bagi melawan wabak ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau meminta umat Islam untuk meyakini bahawa vaksin yang ditawarkan adalah halal toyyiban dan telah melalui proses penilaian yang ketat serta semakan dari semua aspek.

“Ini berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) sebelum ini
telah mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin Covid-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM),” ujarnya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI