fbpx

GIC labur RM750 juta dalam Sunway

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sunway Healthcare bercadang untuk menambah lapan buah hospital baharu dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

PETALING JAYA – Sunway Bhd. (Sunway) telah memuktamadkan perjanjian bersama pihak bersekutu dengan dana kekayaan berdaulat Singapura, GIC Pte. Ltd. (GIC) untuk pengambilalihan 16 peratus pegangan dalam Sunway Healthcare Holdings Sdn. Bhd. (Sunway Healthcare) pada nilai RM750 juta.

Perjanjian tersebut memberi nilaian kepada Sunway Healthcare berjumlah hampir RM4.7 bilion.

Dana itu akan digunakan khusus untuk pelan pengembangan masa depan.

Pengerusi dan Pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah berkata, pihaknya memilih GIC sebagai rakan kongsi setelah menilai banyak cadangan daripada pelbagai dana pelaburan domestik dan antarabangsa, dana kekayaan berdaulat serta firma ekuiti swasta.

Menurut beliau, GIC memberi penilaian terbaik selain disokong oleh penglibatan mereka dalam industri kesihatan dan penjagaan kesihatan global bakal membawa Sunway Healthcare mampu mencapai potensi maksimum menerusi pelan pertumbuhannya.

“Kami berhasrat untuk menambah jumlah hospital yang dioperasikan Sunway Healthcare kepada lapan buah dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang dan mencapai kapasiti keseluruhan sebanyak 3,000 buah katil.

“Dana yang disuntik GIC akan membantu kami melaksanakan pelan pengembangan ini sebelum pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) untuk Sunway Healthcare pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam.

Sunway Healthcare kini mengoperasikan dua buah hospital ia­itu Sunway Medical Centre Sunway City di Subang dan Sunway Medical Centre Velocity, Kuala Lumpur dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 800 buah katil.

Pihak terbabit sedang membangunkan enam lagi hospital iaitu di Seberang Jaya dan Paya Te­rubong di Pulau Pinang; Sunway Damansara, Selangor; Sunway City Ipoh, Perak; Sunway City Iskandar Puteri, Johor dan sebuah lagi di Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, Presiden Sunway Group, Tan Sri Chew Chee Kin berkata, pelaksanaan IPO bagi Sunway Healthcare dijangka dalam tempoh enam hingga lapan tahun lagi, apabila ke­semua lapan hospitalnya telah beroperasi sepenuhnya dan memberi sumbangan yang baik kepada Kumpulan.

Tambahnya, pembangunan enam hospital baharu itu di­jangka memerlukan perbelanjaan modal antara RM2 bilion hingga RM3 bilion, yang mana sebahagian daripadanya akan dijana menerusi pinjaman bank.

Berhubung pilihan pasaran bagi penyenaraian itu, Chee Kin berkata, Bursa Malaysia akan menjadi keutamaan.

“Setakat ini, tiada sebarang perbincangan untuk menyenaraikannya di pasaran lain, ke­cuali jika ada pasaran luar negara yang dilihat terlalu ‘baik’ untuk membolehkan kami membuat penyenaraian pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI