SEBERANG PERAI – Seorang penagih dadah dicekup polis selepas gagal dalam cubaan melarikan diri dengan sebuah kereta di Penaga, Kepala Batas di sini semalam.
Suspek berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang selepas kereta jenis Proton Saga dipandunya berjaya dikejar oleh kereta peronda polis (MPV) selepas melarikan diri sejauh kira-kira 1 kilometer, manakala seorang lagi berjaya lolos.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum kereta itu cuba ditahan.
“Mereka enggan memberhentikan kereta dan memecut, namun dengan dibantu oleh tiga MPV lain yang mengejar dari Jalan Bakau Tua melalui Jalan Rantai Panjang, kereta suspek berjaya ditahan di Kota Aur,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, salah seorang suspek berjaya meloloskan diri, manakala seorang lagi berusia 47 tahun berjaya ditahan.
“Polis menemui satu tiub penyedut minuman mengandungi dadah disyaki jenis heroin dan satu lagi dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.
“Suspek yang memiliki beberapa rekod lampau itu turut didapati positif dadah jenis syabu dan usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, satu rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan aksi MPV polis mengejar kereta suspek di atas ban atau batas padi tular di laman sosial sejak semalam. – K! ONLINE