fbpx

Juara dunia Perancis dikejutkan Hungary

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG, Antoine Griezmann (kanan) menjaringkan gol penyamaan untuk Perancis ketika seri 1-1 dengan Hungary pada saingan Kumpulan F, Euro 2020 di Puskas Arena, Budapest sebentar tadi. - AFP

BUDAPEST – Pasukan ranking ke-37 dunia, Hungary mencipta kejutan terbesar kempen Euro 2020 setakat ini apabila berjaya mengikat juara Piala Dunia 2018, Perancis 1-1 pada aksi kedua Kumpulan F di Puskas Arena sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan hasrat Perancis yang juga pasukan ranking kedua dunia untuk mengesahkan slot ke peringkat kalah mati tertangguh seketika dan perlu menunggu aksi terakhir menentang juara bertahan, Portugal pada 24 Jun ini.

Pada aksi itu, Perancis bermula garang dengan melakukan banyak percubaan ke arah gawang gol Hungary menerusi duo serangan berbahaya mereka diketuai Kylian Mbappe dan Karim Benzema.

Malangnya, kedua-dua penyerang itu menunjukkan penyudah yang tumpul dan gagal menewaskan penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi sepanjang 45 minit permainan.

Sebaliknya, Hungary yang dikendalikan Marco Rossi berjaya membuka tirai jaringan di hadapan hampir 67,000 penonton yang memenuhi Puskas Arena menerusi Attila Fiola pada masa tambahan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Les Blues tampil dengan permainan lebih bertenaga apabila membawa masuk pemain sayap lincah, Ousmane Dembele yang menyaksikan percubaannya sekadar singgah di tiang gol Hungary.

Usaha keras skuad bimbingan Didier Deschamps itu mencari jaringan penyamaan akhirnya berhasil menerusi rembatan Antoine Griezmann pada minit ke-66.

Ia berpunca daripada sepakan jauh penjaga gol Perancis, Hugo Llloris yang gagal dibaca barisan pertahanan Hungary membolehkan Mbappe merampas bola sebelum menghantarnya ke dalam kawasan kotak penalti yang disudahkan oleh Griezmann.

Perancis kemudiannya membuat beberapa pertukaran dengan membawa masuk Olivier Giroud, Corentin Tolisso dan Thomas Lemar, namun terpaksa akur gagal mencari gol kedua untuk memenangi perlawanan itu.

Les Blues yang sebelum ini menang 1-0 ke atas Jerman, kini terpaksa mengharapkan keputusan positif pada aksi terakhir Kumpulan F bertemu Portugal untuk mara ke peringkat kalah mati.

Bagi Hungary, keputusan itu pula kembali mencerahkan peluang mereka ke pusingan seterusnya selepas terdahulu tewas 0-3 kepada Portugal pada aksi pertama, 16 Jun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI