fbpx

PNS berimej baharu perkukuh kedudukan, elak kekeliruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) yang bakal tampil dengan imej baharu pada hari Isnin, 21 Jun ini diyakini akan memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri francais, sekali gus memastikan peranannya terus kekal relevan.

PNS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, proses penjenamaan semula itu melibatkan pertukaran akronim dan logo, manakala nama rasmi, Perbadanan Nasional Berhad akan dikekalkan.

Jelasnya, ia sebahagian strategi bagi memberi gambaran lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan PNS dalam industri francais dan keusahawanan, seterusnya menangani isu kekeliruan jenama PNS dengan organisasi kerajaan yang lain.

“Penjenamaan semula ini tidak hanya melibatkan transformasi jenama, malah turut meliputi penambahbaikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh PNS kepada para pelanggan dan usahawan.

“PNS sebagai agensi yang diberi mandat untuk meneraju pertumbuhan industri francais sejak 2004 dan juga merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) akan terus berusaha melahirkan lebih ramai usahawan berkualiti serta berdaya maju, selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030,” katanya.

Teaser logo baharu PNS yang bakal dilancarkan.

Menurut PNS, dalam mendepani cabaran ekonomi akibat pandemik dan menangani isu pengangguran yang semakin meningkat, pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan 3,600 peluang pekerjaan baharu tahun ini dalam bidang perniagaan francais.

Bagi menyokong hasrat tersebut, PNS telah melancarkan dua inisiatif baharu pada awal tahun 2021 iaitu  Projek Be Your Own Boss (BYOB) dan Projek Xcelerator.

BYOB menawarkan dua program iaitu Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) untuk wanita dan Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) untuk golongan belia dengan sasaran melahirkan 1,000 francaisi baharu.

Ibu pejabat PNS di Bangsar South, Kuala Lumpur.

“Sejak pengenalann inisiatif ini, lebih daripada 300 wanita dan belia telah mendaftar sebagai peserta BYOB, yang mana seramai 100 peserta telah pun menamatkan latihan dan kini dalam proses pemadanan perniagaan.

“Melalui Projek Xcelerator pula, PNS giat membantu usahawan sedia ada untuk memacu perniagaan mereka ke arah memfrancaiskan perniagaan mereka dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Pengumuman terkini mengenai pelancaran jenama baharu PNS pada 21 Jun 2021 boleh didapati di media-media utama dan laman media sosial rasmi PNS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI