fbpx

Wales raih kemenangan sulung, Turki masih kempunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN pertahanan Wales, Connor Roberts (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika Wales menewaskan Turki 2-0 dalam saingan Kumpulan A, Euro 2020 di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan sebentar tadi. - AFP

BAKU, Azerbaijan – Pasukan Wales berjaya merekodkan kemenangan pertama pada kempen Euro 2020 selepas menewaskan Turki 2-0 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A di Stadium Olimpik Baku sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad Wales yang dikendalikan oleh Rob Page mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utama pasukan dengan menyenaraikan pemain bertaraf bintang seperti Gareth Bale dan Aaron Ramsey.

Keputusan tersebut ternyata tepat apabila kedua-dua pemain itu sering memberi kesukaran buat benteng pertahanan Turki yang diketuai oleh penjaga gol, Ugurcan Cakir.

Lebih menarik, dua peluang keemasan berjaya diperoleh oleh Ramsey yang juga pemain kelab Serie A, Juventus tetapi rembatan yang dilakukan gagal menerjah jaring.

Namun, Ramsey tidak mensia-siakan peluang ketiga yang diterimanya selepas bijak menyudahkan hantaran Bales untuk memastikan The Dragons di depan pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, saingan dilihat lebih seimbang dengan Turki turut berusaha untuk mencari gol penyamaan menerusi jentera serangan yang diketuai oleh kapten pasukan, Burak Yilmaz.

Bagaimanapun, Wales terlebih dahulu berpeluang untuk menggandakan kelebihan selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Bale dijatuhkan oleh pertahanan Turki, Zaki Celik pada minit ke-61.

Namun, rembatan yang dilakukan oleh Bale jauh tersasar melepasi palang gol.

Wales yang menduduki ranking ke-17 dunia akhirnya berjaya meraih gol kedua apabila Conor Roberts bijak menyudahkan peluang terhidang pada masa kecederaan sekali gus memastikan Turki mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel tamat perlawanan dibunyikan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI