fbpx

Buang sangsi ibu hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini seorang rakan menghubungi penulis kerana te­ruja melihat aplikasi MySejahtera boleh mengemas kini status diri bagi wanita hamil dan menyusukan anak.

Hamil pada musim pandemik semestinya perkara yang pa­ling membimbangkan bagi setiap individu. Bukan sahaja perlu menjaga kandungan, si ibu juga perlu sentiasa berhati-hati bagi memastikan diri mereka tidak dijangkiti wabak pembawa maut.

Fungsi baharu aplikasi yang telah dikemas kini itu sedikit sebanyak melegakan dirinya dan ibu hamil yang lain. Sekurang-kurangnya mereka boleh mendapatkan vaksin yang tepat bersesuaian dengan keadaan fizikalnya.

Begitupun, rakan penulis begitu risau kerana biarpun telah mendaftar sejak awal lagi, namun sehingga ke hari dia masih belum menerima panggilan.

Kemunculan varian-varian baharu yang lebih berbahaya se­perti varian daripada Afrika Selatan B1351 dan India B1617 yang menyebabkan keadaan hanya dapat dikesan ketika sudah di tahap empat begitu mengganggu fikirannya.

Tambah merisaukannya apabila membaca kisah-kisah sedih yang berlaku terhadap ibu hamil dan bayi di dalam kandungan di media sosial. Bukan mendoakan perkara tidak baik berlaku pada diri, namun rakan penulis begitu bimbang jika situasi tersebut terjadi pada dirinya yang begitu te­ruja menanti kehadiran cahaya­mata sulung selepas lima tahun berkahwin. Nauzubillah.

Disaat dirinya dan ramai wa­nita hamil di negara ini tidak sabar menerima panggilan suntikan, ada juga yang enggan me­nerima vaksin kerana takut akibat terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dikongsi di media sosial.

Walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah membuat pengumuman tentang vaksin Pfizer sebagai pilihan vaksin yang sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusu, namun ramai dalam kalangan pesakit yang mempersoalkan keselamatan vaksin terhadap kandungan mereka.

Begitupun menurut Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Premitha Damodaran, mereka tidak seharusnya bimbang kerana vaksin tersebut adalah selamat dan kesan sampi­ngan selepas vaksinasi hanyalah seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam.

“Kesan tersebut boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi serta akan hilang dalam masa singkat.

“Sekiranya perlu, doktor akan memberikan ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan tersebut. Jangan keliru kesan ini dengan kesan alahan kerana alahan boleh me­ngakibatkan serangan kejutan sehingga muka bengkak dan sukar bernafas.

“Kita perlu cuba bertahan dengan rasa kurang selesa selepas divaksinkan kerana dalam tempoh hamil, kesihatan ibu adalah yang paling mustahak. Tanpa ibu yang sihat dan bebas pe­nyakit, bagaimana bayi yang sihat dapat dilahirkan?” katanya.

Tambahnya lagi, golongan ini perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber sahih dan tidak mudah terpedaya oleh sebaran di media sosial kerana setiap kehamilan adalah unik.

Bagi yang telah lengkap dua dos suntikan pula, itu tidak bermaksud sistem tubuh mereka sudah kebal dengan wabak ini dan tidak perlu lagi mempraktikkan kawalan kendiri memandangkan kebarangkalian untuk dijangkiti masih ada.

Mengulas mengenai keberkesanan vaksin, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, kajian terperinci sedang dijalankan oleh pengeluar pelbagai jenis vaksin.

“Setakat ini dilaporkan bahawa ada vaksin yang efektif terhadap varian B1617 dan ada juga yang dilaporkan kurang efektif. Ini bermakna ada yang mendapat jangkitan varian ini selepas menerima vaksin Covid-19 contohnya yang berlaku di India.

“Akan tetapi, vaksin didapati melindungi serta mencegah mereka daripada mendapat jangkitan yang teruk,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI