fbpx
Radzi

Saya bukan mahu jadi popular – Radzi Jidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan tuduhan segelintir pihak bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dimanipulasi dan sengaja dibuat supaya menjadi lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya sebagai tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihak yang mempertikaikan peningkatan pencapaian itu seolah-olah merasakan anak-anak murid yang telah gigih berusaha tidak berhak mendapat keputusan sedemikian selepas melalui satu tempoh yang cukup mencabar dalam sejarah pendidikan negara.

“Ada yang nakal mempolitikkan semua perkara dan menceritakan seolah-olah menteri mahu tunjuk hebat supaya keputusan tahun ini menjadi lebih bagus.

“Ingin saya jelaskan bila saya masuk dalam kementerian perkara pertama saya sebut ialah bahawa saya berada di kementerian bukan untuk jadi popular.

“Kerana tidak perlu jadi popular tetapi laksanakan perkara yang betul dan baik bagi memastikan sistem pendidikan terus dapat dipertingkatkan,” katanya pada program temubual Soal Rakyat Rakyat Khas: Cabaran SPM dalam Era Pandemik yang disiarkan secara langsung di TV3 dan laman Facebook KPM hari ini.

Beliau berkata, integriti Lembaga Peperiksaan (LP) sentiasa utuh, dihormati dan tidak wajar diragui dan matlamat pihaknya hanya mahu proses peperiksaan SPM yang melibatkan lebih 400,000 calon dan lebih 3,000 pusat peperiksaan berjalan lancar.

Radzi berkata, tidak pernah terlintas langung di fikirannya menyebut kepada LP bahawa beliau mahukan keputusan yang lebih baik dan menyifatkan perkara seumpama itu sebagai tidak masuk akal.

Katanya, banyak faktor yang boleh menyumbang kepada keputusan tersebut dan mereka yang mempertikaikan keputusan itu tidak melihat konteks yang lebih luas.

“Bila ramai mempertikaikan, ada guru bercerita bagaimana mereka bagai terasa hati seolah-olah apa yang dibuat dipandang rendah selain penglibatan ibu bapa banyak membantu anak-anak semasa mengulangkaji memberi semangat dan motivasi.

“Ada guru buat kelas tambahan, ada yang berhubung tanya khabar perkembangan murid seorang demi seorang ada yang buat kelas sampai malam dan ada guru yang buat modul sendiri, susun, hantar dan ambil semula untuk semakan selain kongsi cara buat pemarkahan,” ujarnya.

Beliau menegaskan tempoh calon SPM 2020 hadir ke sekolah semasa pandemik secara purata berjumlah 155 hari tidak termasuk semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbanding takwim yang menetapkan 190 hari tempoh persekolahan.

Tambahnya, soal murid ketinggalan begitu jauh tidak sepatutnya timbul selain data kehadiran murid kelas peperiksaan mencapai 90 peratus apabila sekolah dibuka dan ada banyak negeri yang mencapai melebihi 95 peratus sekali gus mencerminkan semangat murid kembali belajar di sekolah secara bersemuka.

Dalam pada itu, beliau berkata, slip peperiksaan keputusan penuh SPM boleh dimuat turun bermula Isnin ini dan sijil rasmi SPM dijangka akan dikeluarkan selepas sebulan berbanding tempoh lima hingga enam bulan sebelum ini. – K! ONLINE

POPULAR