fbpx

Pengembaraan, konsensus ‘444’ Black 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BLACK 2 mula disiarkan menerusi laman penstriman, Viu sejak Khamis.

PERSOALAN tentang kesinambungan atau apa juga pengkisahan Black yang pernah disiarkan menerusi laman penstriman, Viu sebelum ini sedikit bermain dalam fikiran saat mukadimah ulasan naskhah tersebut hendak dicernakan dalam penulisan kali ini.

Bagaimanapun, perihal tersebut tidak terlalu serius sehingga membataskan fokus penulis terhadap musim kedua siri original yang dibintangi ramai pelakon hebat tanah air termasuk Kamal Adli dan Siti Saleha sebagai bintang utama tersebut.

Diadaptasi daripada drama popular Korea Selatan, Black mengisahkan Malik, lakonan Kamal Adli, makhluk bunian yang diarahkan memburu rakannya yang melarikan diri ke alam manusia.

Malik jatuh cinta terhadap Sofia (Saleha) yang boleh meramal kematian. Mereka kemudiannya terlibat dalam satu misi penting iaitu menyelesaikan satu kes pembunuhan.

Apa yang penulis sukakan tentang siri berkenaan adalah tentang ‘keterbukaan’ skrip, dialog, kualiti tona gambar dan terjemahan karakter.

KESERASIAN antara Kamal dan Siti Saleha merupakan satu elemen yang wajar dilambungkan pujian.

Dialog ‘terbuka’, tona gambar

Memandangkan siri original berkenaan bukan untuk tayangan stesen televisyen nasional, penonton boleh menjangkakan lontaran dialog ‘raw’ tanpa terlalu menjaga rubrik atau tatasusila ‘Finas’ yang terlalu mengongkong yang bagi penulis, kadang-kadang pendekatan sebegitu agak merencatkan.

Jika sebelum ini khalayak sering ‘dimomokkan’ bahawa elemen sebegitu pengaruh daripada filem antarabangsa, dalam Black, penonton boleh meramalkan hal sama.

Penonton boleh melihat bagaimana pemain drama atau filem tempatan menjayakan aksi dengan bahasa tubuh atau ‘dialog kotor’ yang lazim terlihat dalam produk luar.

Bagusnya, perihal tersebut tidak terlalu keterlaluan dan agak sesuai untuk tontonan umum secara online.

Pujian juga boleh dikreditkan ke arah kualiti ton gambar dan sinematografi yang divisualkan dalam Black. Dalam piawaian sebuah siri tempatan, ‘not bad’ (boleh tahan) ialah satu frasa yang terpacul daripada bibir penulis.

Biarpun masih ada ruang yang boleh diperbaiki, misalnya tentang babak melibatkan letupan, Black tetap membawa menonjolkan langkah kecil ke arah satu kemajuan aspek berkenaan.

Dalam apa jua perkara, satu pegangan yang tidak perlu dihentikan ialah jangan pernah berhenti untuk menyuntik kemajuan. Itu juga harapan untuk produk seperti Black.

SITI SALEHA melakonkan watak Sofia, wanita yang ada keupayaan meramal kematian.

Terjemahan

Bercakap tentang terjemahan karakter, itu satu risiko yang harus diambil dalam setiap siri adaptasi daripada K-drama. Itu peluang kepada penonton, sama ada menerima usaha tersebut dengan hati terbuka atau sebelah mata.

Black sebenarnya dibarisi pelakon hebat negara. Selain Kamal dan Saleha, Black juga menampilkan Nabila Huda, Khir Rahman, Adlin Aman Ramli, Nam Ron, Pablo Amirul dan Rusdi Ramli.

Dari situ, penonton sudah boleh menjangkakan kualiti terjemahan lakonan ‘papan atas’ daripada pelakon terlibat. Pengumpulan pelakon hebat tanah air sedikit sebanyak sudah mengukir janji manis buat Black musim kedua dengan lebih banyak aksi, kejutan hebat lain.

Penulis hanya diberikan akses menonton dua episod terawal, kini terserah kepada penonton untuk menyusuri sendiri naratif karya arahan Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi berkenaan bermula 10 Jun (semalam).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI