fbpx

Dua pelajar Anderson peroleh keputusan cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faizal Amirul Najmi melihat keputusan SPM bersama bapanya, Koperal Fadilah Abd Rahman dan ibu, Norhasziza Mohamad di kediaman mereka di Ipoh.

IPOH – Azam untuk mengubah kehidupan keluarga menjadi peniup semangat bagi pelajar autisme, Abdul Hakim Kamarozaman untuk menghadiahkan kejayaan itu buat kedua-dua ibu bapanya apabila mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Dia yang menghadapi masalah pertuturan bagaimanapun tidak melalui jalan mudah untuk memperoleh  8A, 1B dan 1C bagi 10 mata pelajaran yang diambilnya dalam peperiksaan itu.

Kata Abdul Hakim, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sangat mencabar bagi pelajar sepertinya yang sukar untuk memahami pembelajaran secara maya berbanding bersemuka dengan guru selain masalah kesihatan.

Realiti untuk mengikut kelas online bagi Abdul Hakim juga sukar kerana perlu menunggu bapanya yang bekerja sebagai pembantu rendah di sebuah jabatan kerajaan pulang kerja untuk menggunakan telefon pintar kerana ketiadaan gajet itu di rumah.

“Kesukaran untuk belajar secara online adalah ketiadaan telefon dan data, namun begitu bapa telah berusaha untuk membeli sebuah telefon untuk saya walaupun perbelanjaan keluarga terhad, manakala ibu pula suri rumah.

“Saya bersyukur dengan keputusan SPM yang telah diperoleh, ia bukanlah usaha saya sahaja tetapi juga dibimbing guru-guru,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson ini kepada Kosmo!

Kata Abdul Hakim, semasa di rumah dia juga perlu membahagikan masa antara pelajaran dan urusan keluarga kerana ibu bapanya mempunyai masalah kesihatan manakala seorang daripada enam adiknya pula merupakan orang kelainan upaya.

“Sebab itu saya sedar bahawa peperiksaan SPM dapat mengubah kehidupan keluarga saya ke arah yang lebih baik,” ujarnya yang berhasrat menyambung pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi untuk bergelar arkitek.

Keputusan cemerlang juga diperolehi Ketua Pengawas SMK Anderon, Faizal Amirul Najmi Fadilah apabila mendapat 7A, 1B dan 1C sekali gus berhasrat untuk meneruskan cita-cita sebagai peguam.

Menurut anak kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ini, selain pandemik Covid-19 dia juga terlibat dengan kemalangan jalan raya tahun lalu dan tidak dapat ke sekolah selama sebulan kerana berada di wad.

Dia mengakui sangat sukar mengikuti PdPR, namun dengan bantuan guru-guru yang tidak kenal lelah membimbing dia dan rakan-rakan untuk benar-benar faham termasuk melalui kelas tambahan di sekolah.

“Saya rasa sangat bersyukur ke hadrat Ilahi walaupun agak sedih sedikit kerana tidak mencapai keputusan yang diimpikan tapi dengan pelbagai dugaan yang dihadapi ia satu hikmah.

“Semasa di hospital saya merasa sangat tertekan mengenangkan peperiksaan sebelum bangkit atas dorongan rakan-rakan, guru serta keluarga terutama bapa, Koperal Fadilah Abd. Rahman dan ibu, Norhasziza Mohamad,” ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI