fbpx
ANAK-ANAK muda yang menyertai kumpulan ini teruja kerana dapat menjalankan perniagaan sambil berpeluang melakukan pelbagai amal kebajikan.

Sedekad jual lemang sambil beramal jariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNIAGAAN lemang sering dianggap bisnes semata-mata dan tidak ramai belia yang sanggup berbahang panas meniaga lemang demi memastikan hasil jualan juadah Aidilfitri itu dapat dijadikan modal melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

Namun, itulah sikap terpuji yang ditampilkan ahli-ahli Persatuan Belia Gugusan Salak (Bagus) dalam usaha mereka melakukan amal jariah untuk masyarakat setempat.
Hasil keuntungan daripada jualan lemang telah disalurkan untuk menampung kos pembelian sebuah van jenazah bagi kariah Kampung Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Ketua kumpulan atau persatuan tersebut, Muhammad Hydier Hamid, 42, berkata, untuk membeli van itu pada dua tahun lalu, pihaknya perlu menjual 15,000 batang lemang dinamakan Lemang Bagus yang sudah popular sejak dijual pada tahun 2011 dalam kalangan penduduk tempatan dan sekitar Sepang.

“Harga van berkenaan dianggarkan antara RM50,000 hingga RM60,000. Alhamdullillah kita berjaya membeli van jenazah tersebut.

“Perkhidmatan van jenazah itu pula diberikan secara percuma kepada penduduk tempatan, manakala untuk orang luar kariah ini kosnya boleh dirundingkan,” katanya kepada K2 ketika ditemui semasa umat Islam meraikan Aidilfitri sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Muhammad Hydier berkata, Bagus merupakan entiti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

VAN jenazah berjaya dibeli dua tahun lalu dengan hasil jualan kira-kira 15,000 batang lemang.

Perniagaan lemang itu katanya adalah hasil suntikan modal tiga orang pengasas persatuan ini.

Jelasnya, pada mulanya, sasaran awal bisnes ini adalah untuk dimasak sekadar dibeli para ahli bagi hidangan keluarga masing-masing.

“Lama-kelamaan kita menjadikannya produk komersial apabila merasakan lemang tersebut mula mendapat perhatian masyarakat setempat.

“Daripada 1,000 hingga 2,000 batang, kini Lemang Bagus yang dimasak majoriti orang muda menghasilkan purata jualan hingga 20,000 batang setiap tahun,” katanya.

Sebelum ini, mereka juga beramal dengan menyumbangkan bantuan makanan untuk golongan susah, menyediakan baju raya untuk asnaf dan mewakafkan al-Quran.

Bercerita tentang projek kebajikan untuk hasil keuntungan jualan lemang tahun ini, Muhammad Hydier berkata, pihaknya akan membeli puluhan buah kerusi roda dan peralatan sokongan pesakit yang lain.

Katanya, pada tahun lalu perniagaan lemang telah terjejas ekoran PKP berkuat kuasa sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri.

“Oleh sebab itu, tahun ini kita mengaktifkan projek kebajikan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas yang menyasarkan keperluan 80 hingga 100 kerusi roda, tongkat dan kerusi mesra pesakit untuk membuang air besar.

“Bagi memastikan objektif tersebut berjaya, kami menyasarkan jualan lemang tahun ini boleh mencecah 20,000 batang,” katanya.

MUHAMMAD HYDIER (tengah) dan dua ahli Bagus memasak lemang di Kampung Salak Tinggi, Sepang.

Bagi memastikan penjualan lemang lebih lancar pada tahun ini, pihaknya turut mewujudkan pasukan penghantar lemang yang dinamakan Bagus Delivery terdiri daripada 20 penghantar yang menghantar lemang ke kawasan Salak Tinggi hingga ke daerah Tanjong Karang.

Katanya lagi, bagi melariskan Lemang Bagus pihaknya turut melantik wakil jualan di setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau kampung sekitar.

Mengulas mengenai kru Bagus yang menyediakan lemang, seramai 20 hingga 25 orang belia menggalas tanggungjawab tersebut mengikut giliran meliputi proses membersihkan pulut, memasukkan daun pisang, memasak dan menjual.

“Antara lemang yang dimasak adalah lemang pulut biasa, lemang jagung dan lemang tepung.

“Kami juga menjual lauk rendang ayam biasa, rendang ayam pencen, rendang daging, kuah kacang, serunding daging yang dipesan khas dari Kelantan serta serunding cita rasa tempatan,” katanya.

KRU Lemang Bagus sibuk melayani pelanggan sebelum PKP lalu.

Sementara itu, Ketua Kampung Salak Tinggi, Mohd. Nazlan Yahya, 62, berkata, kerja-kerja memasak lemang dalam keadaan berpanas dan berhujan membuktikan ahli-ahli Bagus komited melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

“Sudah sedekad atau 10 tahun mereka melakukan amal di samping menyediakan lemang untuk orang yang ingin merasa kelazatan air tangan mereka. Saya berasa amat bangga kerana mereka berjaya menggunakan tulang empat kerat mereka untuk melakukan kerja-kerja buat masyarakat dan umat Islam,” katanya.

Bagi ‘orang lama’ yang membimbing ahli-ahli Bagus, Shamsul Rizam Sulaiman, 47, kesemua kru sudah dianggap seperti keluarga besar.

Katanya, sejak bermula pada tahun 2011, kerjasama antara ahli kumpulan tersebut amat baik dan segala aktiviti begitu menyeronokkan kerana masing-masing ingin bekerja sambil berbakti.

“Sebagai orang yang tidak mempunyai banyak harta, ini sahaja yang kami mampu lakukan Semoga hasil keuntungan jualan lemang yang digunakan untuk membeli kerusi roda pula nanti menjadi amal jariah untuk kami,” katanya.

Lokasi jualan Lemang Bagus adalah berhampiran Masjid Salak Tinggi. Bagaimanapun sejak PKP lalu, gerai jualan Lemang Bagus ini tidak beroperasi bagi mematuhi prosedur operasi standard PKP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN