fbpx

Kahwin? Shalma nak ‘degree’ dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHALMA ELIANA

PETALING JAYA – Penyanyi Shalma Eliana belum bersedia bergelar isteri selagi masih tidak berjaya mendapatkan segulung ijazah.

Shalma atau nama lengkapnya, Shalma Eliana Bruhanutheen, 21, berkata, walaupun dia dan teman lelakinya, Ismail Izzani juga seorang penyanyi, mempunyai perancangan ke arah itu, namun perkahwinan tidak akan berlangsung dalam waktu terdekat.

“Sejujurnya, memang ada perancangan untuk masa depan (berkahwin) kerana kami pun memang agak serius dengan perhubungan kami.

“Ada perancangan namun bukan dalam waktu terdekat kerana saya nak sambung belajar dan dapatkan degree (ijazah sarjana muda) saya dulu. Ada banyak benda yang saya ingin buat untuk diri saya,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media secara maya dua single terbaharunya, Rambang dan Naik (featuring Abubakarxli) semalam.

SHALMA bersama kekasihnya, Ismail Izzani.

Dijentik persoalan tentang jangkaan untuk menamatkan zaman bujang, Shalma menjawab: “Mungkin pada umur 25. Mungkin, kita tidak pernah akan tahu. Ibu bapa saya pun nak saya dapatkan ‘degree’ atau berseronok dengan hidup terlebih dahulu.

“Pertunangan atau perkahwinan bukan dalam waktu terdekat. Insya-Allah satu hari nanti, ada sudah dalam ‘buku pelan’ saya.”

Menjelaskan tentang perancangan menyambung pengajian di luar negara, Shalma berkata, perkara tersebut antara agenda besar namun banyak keterbatasan disebabkan pandemik Covid-19.

“Kalau ikutkan perancangan memang nak sambung (belajar) tahun ini. Insya-Allah, kalau Covid dah reda sikit, tahun depan saya nak sambung belajar.

“Mungkin dalam bidang komunikasi massa (diploma) atau bidang perniagaan. Universiti mungkin di sekitar Hendon, London kerana semua kakak saya belajar di kawasan itu,” katanya lagi.

Shalma muncul dengan single terbaharu berjudul Naik bersama Abubakarxli yang kini sudah boleh didengari di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music dan JOOX. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI