fbpx

Duduk rumah buat duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afdhal Haziq membuktikan duduk di rumah semasa PKP boleh menjana pendapatan melalui YouTube.
SYALMIZI HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

KETIKA ini negara berdepan krisis kesihatan yang agak serius apabila kes jangkitan Covid-19 mencecah angka sekitar 6,000 ke 9,000 sehari.

Ini bermakna, pada saban hari semakin ramai daripada 32.75 juta rakyat negara ini telah di­jangkiti. Kematian pula telah mencapai jumlah tertinggi 126 orang sehari.

Justeru, total lockdown dilaksanakan bagi memastikan orang ramai tidak keluar dan berhubung rapat secara fizikal antara satu sama lain.

Pelaksanaannya bermula 1 hingga 14 Jun ini memaksa kita semua untuk terus ‘duduk’ di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.

Sebenarnya, situasi itu bukanlah menyebabkan kita terkurung semata-mata, sebaliknya membuka peluang untuk menerokai banyak perkara.

Ia boleh dimanfaatkan untuk mengasah skil memasak mi­salnya dengan mencuba pelbagai resipi baharu yang tular di media sosial bagi mengelakkan kelesuan atau kebosanan.

Selain itu, pelbagai aktiviti fizikal dan cabaran IQ boleh dilakukan bersama keluarga melalui permainan papan seperti catur, Monopoli atau susun kata yang boleh dibeli secara online.

Namun, masa terluang di rumah juga boleh dimanfaatkan untuk memulakan perniagaan online seperti produk makanan, kraf atau barang terpakai melalui pelbagai platform percuma yang tersedia.

Selain perniagaan cara moden itu, media sosial seperti YouTube turut melahirkan kerjaya baharu iaitu pencipta kandungan kreatif semasa PKP yang menjana pendapatan antara ratusan ringgit sehingga lima angka sebulan.

Seorang pencipta kandungan YouTube, Afdhal Haziq, 21, berkata, laman sosial popular tersebut boleh memberi pulangan wang kepada sesiapa sahaja yang kreatif dan rajin membuat kandungan video.

“Untuk memperoleh pendapatan daripada YouTube, akaun perlu mencapai 1,000 subscriber (pelanggan) dan 4,000 jam masa tontonan selain boleh jana pendapatan sampingan daripada iklan dan tajaan luar.

“Ia tidak perlu satu pasukan besar atau peralatan canggih, memadai dengan idea kreatif dan peralatan asas video kerana saya juga menghasilkan kandungan seorang diri,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Afdhal Haziq yang memiliki 14,000 subscribers berkata, tempoh PKP ketika ini mendorong­nya untuk menarik lebih banyak tontonan.

“Orang ramai gemar menonton YouTube semasa PKP kerana video-video saya berkaitan review barangan yang dibeli di kedai barangan RM2 atau MR DIY itu meningkat lebih 20 peratus.

“Saya juga mengambil kesempatan masa terluang untuk buat sehingga lima video seminggu semasa PKP, berbanding satu atau dua sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Am, Bariatrik, Payudara dan Endokrin, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr, M. Kirubakaran berkata, tempoh PKP juga perlu dimanfaatkan dengan aktiviti kecergasan dan kesihatan.

“Paling mudah, anda boleh mengikuti sesi latihan percuma di YouTube atau Facebook se­perti senaman setempat, latihan selang intensiti tinggi dan Tabata yang tidak memerlukan keluar dari rumah.

“Apabila kekal aktif, secara tidak langsung ia menggalakkan rembesan hormon gembira se­perti endorfin,” katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menca­dangkan aktiviti fizikal berintensiti sederhana dilakukan selama 150 minit atau berintensiti intensif selama 75 minit setiap minggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI