fbpx
PENDUDUK Kampung Bertam Baru menggunakan motosikal atau berjalan kaki melalui jambatan kereta api.

Kampung ‘Great Britain’ Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH 70 tahun dahulu, Kampung Bertam Baru yang terletak di pinggir Sungai Nenggiri di Gua Musang, Kelantan pernah digelar sebagai Great Britain. Gelaran itu berkait rapat dengan sejarah Gua Musang yang pernah diancam komunis sekitar tahun 1948 hingga 1960.

Dalam tempoh itu, kampung tersebut dipagari dengan kawat besi dan dikawal rapi anggota keselamatan sehingga dianggap sebagai lokasi paling selamat di Gua Musang.

Sejak itu, orang ramai sering mengatakan kampung itu tidak ubah seperti Great Britain ekoran penduduk berasa selamat berada di situ meskipun diancam serangan komunis. Nama Great Britain itu sentiasa disebut dari mulut ke mulut sehingga kini.

Selain itu, kubu yang dibina pada zaman ancaman komunis pada tahun 1940-an di Kampung Bertam Baru tidak pernah diabaikan penduduk tempatan. Kubu yang terletak berhampiran Balai Polis Bertam itu sentiasa menjadi kenangan sejarah terutamanya buat penduduk yang hidup pada zaman itu.

Seorang warga emas Kampung Bertam Baru, Mat Lia Senik, 79, berkata, kubu itu pernah menjadi tempat askar negara berselindung dan menyerang komunis yang cuba memasuki kampung berkenaan.

Katanya, sewaktu zaman itu, kampung tersebut dan kampung-kampung sekitarnya sering diancam komunis.

MAT LIA menunjukkan kubu yang pernah menjadi tempat anggota keselamatan berselindung ketika komunis cuba memasuki Kampung Bertam Baru, Gua Musang.

Bagaimanapun Kampung Bertam Baru yang asalnya bernama Kampung Kerawat telah menjadi tempat untuk penduduk kampung lain berkumpul bagi menyelamatkan diri ekoran kampung tersebut disifatkan sebagai paling selamat dengan penjagaan rapi pasukan keselamatan.

“Kubu itu terletak di tebing sungai di kampung ini kerana komunis melalui jalan sungai untuk menyerang kampung-kampung yang majoriti penduduknya orang Melayu.

“Walaupun ketika itu saya masih kecil, tetapi saya masih ingat kehidupan dan keperitan orang tua pada zaman itu,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini

Mat Lia mengakui, biarpun unsur sejarah kampung ini kekal dan dipelihara, segelintir generasi baharu kurang mengambil berat sejarah kampung tersebut, malah ada antara mereka tidak mengetahui peristiwa bersejarah yang berlaku di situ.

Katanya, ketika ini hanya dia penduduk asal yang masih tinggal di kampung berkenaan apabila generasi terdahulu daripadanya sudah meninggal dunia dan sudah berpindah ke tempat lain.

“Penduduk kampung ini akan membersihkan kubu terbabit setiap kali menyambut kemerdekaan negara.

“Kita berharap kubu ini dijaga sebaiknya kerana ini adalah peninggalan sejarah yang harus dikenang,” katanya.

Kampung Bertam Baru merupakan sebahagian daripada Kampung Bertam yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Kampung itu dibahagikan kepada dua kawasan penempatan iaitu Kampung Bertam Lama dan Kampung Bertam Baru.

Paling menarik di Kampung Bertam Baru ialah kewujudan sebuah jambatan kereta api dengan reka bentuk zaman kolonial yang tergantung merentasi Sungai Nenggiri.

Cerita seorang lagi penduduk, Naim Sulaiman, 60, jambatan tersebut dibina pada zaman pemerintahan Inggeris dan dipanggil Jambatan Clementi sempena nama seorang Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu sekitar 1930-an, Sir Cecil Clementi Smith.

“Memandangkan ia merupakan jambatan kereta api utama yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur pada masa itu, jambatan tersebut sering menjadi sasaran serangan pihak musuh. Struktur itu pernah dibom sehingga runtuh oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua, namun berjaya dibina semula pada akhir tahun 1940-an,” katanya.

JAMBATAN Clementi di Kampung Bertam Baru ini dibina pada zaman pemerintahan Inggeris dan mempunyai reka bentuk kolonial.

Jelasnya, pada awalnya, Kampung Bertam Baru merupakan kawasan paling kritikal dengan ancaman komunis dan kerajaan telah mengawal ketat kampung itu sehingga turut mengumpulkan semua penduduk dari kampung-kampung sekitar seperti Kampung Kuala Sungai, Kampung Limau Kasturi dan Kampung Pasir Tumbuh di kampung itu bagi mengelak ancaman komunis pada tahun 1952.

Ujar Naim, penempatan itu terletak di dalam Kampung Kerawat yang kini dikenali sebagai Kampung Bertam Baru. Nama Bertam diambil sempena sejenis tumbuhan liar yang tumbuh di kampung itu iaitu pokok bertam.

Katanya, berdasarkan petua tradisional, pokok bertam mempunyai kelebihan tertentu sehingga ditakuti binatang buas atau berbisa.

“Biarpun zaman berubah, penduduk kampung masih selesa menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama untuk ke bandar Gua Musang kerana tiada pengangkutan awam seperti bas disediakan ke kampung itu,” ujarnya.

JAMBATAN konkrit bernilai RM35 juta menghubungkan Kampung Bertam Baru dengan Bertam Lama dinantikan oleh penduduk sejak sekian lama.

Penduduk kampung juga selama ini berdepan kesulitan untuk ke Kampung Bertam Lama apabila perlu melalui jambatan kereta api yang menghubungkan dua kampung itu.

Namun, usaha pembinaan sebuah jambatan konkrit sejak tiga tahun lalu dilihat bakal memberi sinar baharu kepada kampung tersebut. Jambatan baharu itu sekali gus dapat memudahkan perjalanan ke banyak kawasan termasuk ke Jelawang, Jeli dan Dabong, Kuala Krai.

Bekas Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Saufi Abdul Razak berkata, jambatan konkrit yang sudah siap, namun belum boleh digunakan itu sudah lama dinantikan penduduk.

Katanya, penduduk tidak sabar menggunakan jambatan itu kerana mereka dapat memindahkan hasil pertanian dengan mudah.

“Penduduk sudah lali apabila terpaksa bergadai nyawa melalui jambatan kereta api yang sempit menggunakan motosikal atau berjalan kaki untuk ke Kampung Bertam Lama. Kita yakin dengan adanya jambatan konkrit itu nanti Kampung Bertam Lama dan Bertam Baru akan kembali hidup serta menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN