fbpx

Dua lelaki samun peniaga wanita tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman CCTV yang menunjukkan barangan wanita tersebut diambil penjenayah.

PETALING JAYA – Satu kejadian samun yang berlaku di sekitar IJM Jalan Kebun berhampiran Kota Kemuning Shah Alam tular di laman Twitter hari ini.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), jenayah tersebut dipercayai dilakukan oleh dua lelaki yang menunggang motosikal terhadap seorang peniaga wanita di kawasan tersebut.

Rakaman berdurasi 45 saat itu menunjukkan barangan peniaga tersebut diambil oleh salah seorang penjenayah ketika wanita itu menoleh ke arah lain sebelum lelaki tersebut melarikan diri menggunakan motosikal bersama rakannya yang menunggu berhampiran.

Peniaga wanita itu tidak sempat melakukan apa-apa, seolah-olah terkejut dengan tindakan yang dilakukan oleh lelaki terbabit sebelum meminta pertolongan orang awam yang berada di kawasan kejadian.

Rata-rata pengguna laman Twitter menyelar tindakan penyamun tersebut dan berharap mereka dapat ditangkap segera oleh pihak polis.

“Saya terkedu. Jika manusia sudah terdesak untuk melakukan kerja jahat, walaupun Allah sedang uji hamba-Nya dengan wabak Covid-19 pun tidak sedikit dia merasa takut.

“Kasihan kakak tu. Semoga Allah bantu kakak tersebut untuk dapatkan semula jualan,” ciap @hzqhalo.

Pengguna bernama @nabilaasyqin pula berkata: “Orang lain penat bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki, mereka senang sahaja datang mencuri. Sakit pula hati saya tengok video ini.”

Bagi @arytopia2021, apa yang berlaku tersebut sangat memalukan kerana penjenayah terbabit sihat anggota badan.

“Tindakan yang mereka lakukan sangat memalukan. Walaupun anggota badan mereka sihat, mereka memilih untuk mencuri dari bekerja,” ciapnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI