Penduduk melakukan ujian saringan Covid-19 di Dewan Orang Ramai MPKL, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat baru-baru ini.

100,000 penduduk diancam Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Kira-kira 100,000 penduduk di sekitar Teluk Panglima Garang di sini bimbang jika berlaku penula­ran Covid-19 dari kilang-kilang berdekatan kawasan kediaman mereka yang didakwa masih beroperasi sepenuhnya ketika ini.

Lebih malang, kira-kira 40 peratus penduduk di sekitar kawasan itu yang bekerja di kilang terbabit mendakwa mereka tidak ubah seperti buruh paksa apabila diugut akan diberikan surat amaran atau berdepan tindakan pemberhentian jika tidak hadir bekerja.

Antara kampung yang berhampiran dengan kawasan kilang ialah Kampung Medan, Kampung Kebun Bharu dan Kampung Sijangkang.

Azli

Ketua Kampung Medan, Azli Sabirin mengakui pihaknya menerima banyak panggilan daripada penduduk yang risau apabila kilang-kilang masih beroperasi seperti biasa ketika tempoh Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown.

Beliau mendakwa, setakat ini terdapat 15 buah keluarga di kampung itu telah dijangkiti Co­vid-19 dengan mencatatkan empat kematian.

“Saya ada berjumpa dengan pekerja kilang dan mereka mengadu pihak majikan akan mengeluarkan surat amaran jika tidak datang bekerja.

“Mereka sekarang takut hilang punca pendapatan. Saya pun telah membuat laporan polis dan aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berhubung isu ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Azli memberitahu, sebagai ketua kampung, beliau bimbang dengan situasi itu, tambahan pula bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat akhir-akhir ini terutama di Selangor.

“Saya sudah berjumpa de­ngan ahli majlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi untuk meminta pihak ber­kenaan campur tangan dan ambil tindakan dalam hal ini,” ujarnya.

Sepanjang pelaksanaan PKP penuh fasa pertama sehingga 14 Jun ini, hanya kilang dalam ka­tegori perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi, namun jumlah pekerja dihadkan setakat 60 peratus sahaja.

Mohd. Suhaimi

Sementara itu, Ketua Kampung Sijangkang, Mohd. Suhaimi Md. Kamil pula kecewa apabila masih terdapat banyak kilang yang dibenarkan beroperasi.

Dakwanya, sejak Januari tahun ini, terdapat sebanyak lapan kematian akibat Covid-19 dilaporkan di kampung itu de­ngan dua daripada kes tersebut dipercayai berpunca daripada anak ahli keluarga terbabit yang ­bekerja di kilang.

“Berdasarkan rekod tahun lalu, terdapat kira-kira 24,000 penduduk di kampung ini dan kebanyakannya bekerja kilang.

“Jika banyak kilang dapat ditutup sepenuhnya, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Seorang penduduk, Mohd. Nor Ikhram Hanafiah, 44, berkata, di kawasan Teluk Panglima Garang terdapat beratus-ratus kilang dan jika tidak dipantau, ia ­berisiko tinggi menjadi tempat penularan Covid-19.

Ujarnya, dia masih melihat ramai pekerja kilang pergi ke tempat kerja seperti biasa walaupun kerajaan mengumumkan kilang yang dibenarkan beroperasi ketika ini hanya dengan kapasiti 60 peratus bilangan pekerja.

Penduduk melakukan ujian saringan Covid-19 di Dewan Orang Ramai MPKL, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat baru-baru ini.

Berdasarkan rekod, terdapat empat kluster Covid-19 di daerah Kuala Langat pada tahun ini yang dikenali Kluster Jalan Waja, Kluster Jalan Helang, Kluster Jalan Kasawari dan Kluster Jalan Banting-Klang.

Sementara itu, beberapa pekerja kilang yang dihubungi turut mengakui mereka diarahkan untuk hadir ke tempat kerja se­perti biasa dan situasi itu berbeza ketika PKP 1.0 pada Mac tahun lalu.

Seorang pekerja yang tidak mahu dikenali mendakwa, kakitangan pengurusan tidak datang ke pejabat, sebaliknya mereka yang bekerja di bahagian pembuatan perlu hadir seperti biasa mengikut kumpulan dan syif yang diarahkan.

“Kilang tempat saya bekerja beroperasi 100 peratus jumlah pekerja, sepatutnya hanya 60 peratus pekerja sahaja,” dakwa­nya.

Seorang lagi pekerja yang juga tidak mahu dikenali membe­ritahu, mereka tidak berani untuk mengadu kepada mana-mana pihak kerana memikirkan periuk nasi.

“Kilang kami pernah didatangi pihak berkuasa, tetapi mereka datang ke pejabat, sudah tentu nampak tidak ramai orang kerana bahagian pengeluaran berada di blok belakang,” ujarnya.

Gambar hiasan

Polis, MPKL siasat dakwaan kilang ingkar SOP PKP penuh

KUALA LANGAT – Polis akan memeriksa kilang-kilang di sekitar Teluk Panglima Garang di sini sama ada melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang penduduk berhubung dakwaan bahawa terdapat kilang-kilang yang melanggar SOP.

Menurutnya, siasatan terhadap kilang-kilang terbabit akan dijalankan bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

“Kita sendiri maklum ada antara kilang terbabit beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Jika berlaku pelanggaran SOP, kompaun akan dikenakan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, pihaknya mene­rima empat aduan berkaitan dakwaan bilangan pekerja mele­bihi 60 peratus seperti ditetapkan kerajaan dalam tempoh PKP selain beroperasi tanpa kebenaran.

Katanya, aduan tersebut melibatkan empat kilang termasuk perabot, namun hasil pemeriksaan mendapati, semua kilang terbabit mematuhi arahan MITI .

“Kita sentiasa membuat pemantauan berdasarkan kriteria dan syarat yang dikeluarkan termasuk daripada Majlis Kese­lamatan Negara (MKN).

“Pemantauan telah dilakukan antaranya meneliti surat kebenaran operasi daripada MITI dan jumlah kehadiran pekerja.

“Jika beroperasi tanpa kebenaran semasa PKP 3.0, pihak kilang akan dikompaun di bawah Seksyen 25 Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selain arahan penutupan serta-merta,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 390 kilang berlesen di daerah Kuala Langat dan kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 3.0 adalah premis ka­tegori perkhidmatan perlu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN