fbpx

KKMM terima 4,615 laporan insiden keselamatan siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerima 4,615 laporan insiden keselamatan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tiga insiden tertinggi yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia ialah penipuan sebanyak 3,229 kes diikuti pencerobohan (765) dan kod berbahaya (256).

Menurutnya, semasa menghadapi cabaran mendepani pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa ini, penggunaan internet juga telah meningkat secara ketara di seluruh negara.

“Dalam hal ini, KKMM bersama CyberSecurity Malaysia sentiasa memantau persekitaran ruang siber negara dengan menyediakan perkhidmatan, bantuan serta sokongan teknikal.

“Langkah ini bagi memantapkan lagi sistem rangkaian dan pertahanan siber kepada semua pihak sama ada sektor awam dan swasta serta pengguna internet individu,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, KKMM juga mengeluarkan peringatan dan nasihat dari semasa ke semasa sebagai peringatan.

Katanya, ini bagi membolehkan pentadbir sistem di organisasi awam dan swasta serta pengguna internet mendapatkan maklumat mengenai amalan terbaik untuk menangani dan membanteras sesuatu ancaman dan serangan siber.

“Maklumat tersebut boleh didapati melalui portal MyCERT atau Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia, CyberSecurity Malaysia di pautan https://www.mycert.org.my/.

“Saya ingin menggesa pengguna internet agar sentiasa peka, cakna serta melengkapkan diri dengan tatacara penggunaan teknologi dan internet dengan menggunakannya secara berhemah, positif, beretika dan penuh tanggungjawab” katanya.

Orang ramai boleh melaporkan insiden keselamatan siber dengan menghubungi Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia melalui melalui e-mel [email protected], talian telefon 1-300-88-2999 dan aplikasi Cyber999  dengan memuat turun aplikasi di Appstore & Google Play. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI