fbpx

Penugasan Unit K9 bantu operasi cegah dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Navindran Rajagopal dari Unit K9 IPK Perak memeriksa kenderaan berat yang melalui SJR menggunakan anjing pengesan di Jalan Abdul Raof, Parit Buntar semalam.- Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

KERIAN – Penugasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Unit Anjing Pengesan (K9) yang melakukan pemeriksaan pada sekatan jalan raya di daerah Kerian berjaya membendung kegiatan penyeludupan dadah selain memutuskan rangkaian pengedaran bahan terlarang itu.

Usaha bersepadu itu merupakan arahan terus daripada Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razaruddin Husain kerana kedudukan daerah Kerian yang bersempadan dengan tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Timbalan Ketua JSJN IPK Perak, Superintendan Mohd. Husni Manaf berkata, penugasan tersebut penting bagi mencegah aktiviti sindiket penyeludupan dadah jika ada yang mensasarkan laluan di Jalan Persekutuan jika pemantauan tidak dilakukan.

Menurut beliau, operasi tersebut yang bermula pada Januari lalu turut melibatkan Bahagian JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bagi melakukan pemeriksaan pada kenderaan yang melalui sekatan jalan raya dengan bantuan Unit K9.

“Sepanjang penugasan ini terdapat beberapa kejayaan kecil melibatkan tangkapan seramai 16 orang di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

“Daripada jumlah itu, lapan ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya iaitu Seksyen 398 dan Seksyen 12(2) dengan jumlah rampasan seberat 40gram manakala selebihnya di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya kepada pemberita.

Terdahulu, Mohd. Husni mengetuai penugasan pemeriksaan kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Abdul Raof dekat Parit Buntar di sini.

Operasi bermula pukul 10 malam itu melibatkan kira-kira 20 anggota dan dua ekor anjing pengesan Unit K9 bersama pengendalinya.

Dalam pada itu kata Mohd. Husni, keseluruhannya seramai 226 ditahan sejak Januari hingga April lalu di daerah tersebut atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Tegas beliau, operasi bersepadu juga sentiasa diadakan bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah dan pada masa sama meminta orang ramai membantu polis menyalurkan sebarang maklumat bagi membanteras kegiatan tersebut.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI