fbpx

Penggambaran di dalam studio sahaja – Finas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBARANG bentuk penggambaran boleh diteruskan tetapi hanya dibenarkan dilakukan di dalam studio rasmi yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hanya membenarkan kerja penggambaran dilakukan dalam studio rasmi yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha mengetatkan prosedur operasi standard (SOP).

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Finas menyokong penuh usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 menerusi pematuhan terhadap SOP aktiviti penggambaran yang akan dimulakan 25 Mei ini.

“Finas mengambil maklum situasi semasa berkaitan gelombang peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam negara yang amat membimbangkan terutama dengan penularan varian baharu yang memberi risiko kepada semua pihak.

“Oleh itu aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan PBT dan SSM sahaja,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Finas membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan secara ‘indoor’ termasuk di set penggambaran membabitkan rumah kediaman dan bangunan pejabat.

Langkah terbaharu tersebut sejajar dengan pengumuman SOP terkini yang diperketatkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Daripada makluman sama, dinyatakan kerja penggambaran dibolehkan untuk dilakukan antara pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

Sementara antara contoh studio rasmi yang dibenarkan untuk diguna pakai adalah studio milik Finas, Studio Iskandar Malaysia, Studio Jelas Juta dan sebagainya.

“Aktiviti penggambaran dikendalikan kru minimum tanpa penonton serta perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) dan tertakluk kepada pematuhan SOP Industri Kreatif yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Finas juga mengingatkan semua pihak untuk mematuhi SOP ditetapkan MKN dan semua garis panduan meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan serta nyah kuman premis.

“Ini termasuk penjarakan fizikal, tatacara keselamatan pekerja dan tindak balas apabila berlaku kecemasan,” kata pihak berkenaan lagi.

Pada masa sama, Finas memaklumkan ada menerima laporan mengenai beberapa artis dan kru produksi yang dijangkiti Covid-19 termasuk kewujudan kes jangkitan baharu membabitkan penggiat industri kreatif tempatan.

Sementara itu, Finas juga akan memaklumkan perincian SOP Industri Kreatif yang baharu pada Isnin (esok) dan sebarang perkembangan turut dikongsi menerusi hebahan media serta laman sesawang FINAS di www.finas.gov.my selain media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter @FINASMalaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI