fbpx

Semua kena main peranan – Elfira Loy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELFIRA LOY

MELAYARI dunia seni sejak kanak-kanak, bukan calang-calang dugaan yang pernah dilalui pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri.

Bagi pelakon itu, setiap kerjaya punya cabaran tersendiri termasuk bidang seni yang tentu saja menuntut semangat tinggi, kesungguhan dan kesabaran.

Pujian menjadi bonus, namun andai berdepan kecaman, dia tidak akan membiarkan diri terus dirundung emosi yang akhirnya mampu meninggalkan impak negatif kepada insan sekeliling.

Lebih parah, dunia serba moden dengan segala maklumat di hujung jari menjadi antara pencetus terhadap terjadinya buli siber ke atas seseorang individu, khususnya selebriti seperti dirinya.

Mengakui pernah dikecam atau menerima mesej kutukan menerusi laman sosial, Elfira selesa mengambil pendekatan berdiam diri daripada memberikan sebarang maklum balas.

“Suka atau tidak, memang dalam kalangan pengguna ruang maya ada pembuli siber. Tentu saja saya pernah menjadi mangsa apabila bertubi-tubi dilemparkan dengan kata-kata kurang enak.

“Tetapi saya ambil pendekatan buat tak tahu saja. Kalau setakat kritik yang bertujuan mempertingkatkan kelemahan kerja, saya okey saja, namun caci maki saya enggan peduli.

ELFIRA menyifatkan golongan pembuli siber akan lebih agresif jika komen-komen mereka mendapat maklum balas khususnya daripada orang yang dibuli. Untuk itu, dia lebih selesa ambil pendekatan berdiam agar isu menjadi reda dengan sendiri.

“Jenis pembuli siber ini kalau dilayan mereka lagi seronok. Andai kita balas dan cuba memberikan penerangan pun belum tentu mereka akan berhenti.

“Orang akan nampak buruk kita saja sebab dalam minda mereka sudah seakan-akan diprogramkan perkara itu. Jadi paling berkesan diam saja, jangan bagi ruang untuk terus diserang,” katanya kepada HibGlam.

Berasa bertuah dipilih menjayakan kempen Anti-Buli Siber, ibu kepada seorang cahaya mata itu bersemangat memberikan peringatan kepada orang ramai mengenai isu berkenaan.

Selain Elfira, projek meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat kelolaan Himaya Premium Hijab Medical Mask itu turut membariskan Amira Othman, Wany Hasrita dan Erra Fazira.

Enggan membiarkan individu lain menjadi mangsa, selebriti berusia 27 tahun itu yakin jika semua pihak mempunyai kesedaran terhadap kesan berpanjangan kepada mangsa, pasti isu buli siber dapat dikekang.

Tambahnya, mungkin pada masa ini orang tidak nampak impak negatif yang mampu dicetuskan, namun kesan emosi boleh membuatkan pelaku dan mangsa terbawa-bawa kepada tindakan luar kawalan.

“Barangkali ada dalam kalangan kita hanya nampak kutukan dalam media sosial cuma usikan nakal. Jika sikap sebegitu dibiarkan tanpa teguran, pembuli akan semakin berani.

“Bagi saya apabila melihat orang lain berhadapan situasi sedemikian, kita bertanggungjawab untuk membantu atau sekurang-kurangnya jangan menambah bara.

KEMPEN Anti-Buli Siber kelolaan Himaya Premium Hijab Medical Mask, turut membariskan Amira Othman, Wany Hasrita dan Erra Fazira.

“Paling penting kena tenangkan keadaan. Kalau warga maya secara beramai-ramai menegur individu pembuli, saya yakin dia akan teragak-agak mengenakan orang lain lagi.

“Saya pernah berada di tempat ini, jadi saya memahami perasaan mereka yang berdepan kelompok pembuli. Saya bersyukur mempunyai hati kental, tapi bukan semua mampu bertahan,” ulasnya lagi.

Jauh di sudut hati, selebriti itu percaya kempen antibuli siber dapat mencapai matlamatnya dengan sokongan semua pengguna maya.

Malah bagi Elfira, penerapan penggunaan laman sosial secara berhemah harus diterapkan sejak kecil supaya generasi muda tidak menyalahgunakan kemudahan yang ada.

“Jangan ambil ringan isu buli siber. Sebagai seorang ibu saya mahu anak-anak kita hidup dalam persekitaran yang sihat bukan saja dari segi kesihatan tubuh badan, malah kekuatan minda,” katanya.

DUA tahun beraya dalam suasana PKP, Elfira pasrah berkorban rasa demi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Vaksin

Bercerita soal keluarga terutama permata hatinya dan suami, Muhammad Rayyan Khalaf, 2, dia juga nekad mengenepikan perasaan takut untuk mengambil suntikan vaksin.

Elfira antara selebriti tempatan yang sudah mendapat giliran suntikan vaksin AstraZeneca di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru.

Enggan memikirkan kata-kata orang yang belum tentu kesahihannya, dia bersyukur urusan untuk sesi berkenaan seakan dipermudahkan serta tidak seperti digambarkan.

“Sebenarnya masa dalam perjalanan ke tempat itu saya masih berdebar-debar tetapi mujur ada yang hantar kerana nampak saya ketakutan.

“Ikutkan suntikan itu macam suntikan lain juga malah petugas yang bertanggungjawab pun sangat efisien. Cepat betul masa berlalu sampai saya tak sedar jarum sudah dicabut.

“Apa pun nasihat saya ketepikan rasa takut itu sebab paling penting sekarang kita sudah mengambil langkah perlu demi diri sendiri, insan tersayang dan orang lain,” tambah Elfira.

Dedah pelakon yang bermula sebagai model komersial itu, ahli keluarga termasuk suami Muhamad Faris Khairol Anuar, adik dan ibunya sudah mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan.

Sebagai pesanan tambahan, katanya jika masih ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin disebabkan takut kepada risiko, minta dulu pandangan doktor peribadi.

Sementara itu, biarpun hanya di rumah meraikan Syawal berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tetap bersyukur masih berpeluang merayakan hari kemenangan bersama insan tersayang.

ELFIRA kini bahagia bersama suami, Mohamad Faris dan anak mereka, Rayyan.

Kenangan

Cuma momen paling dirindukan sudah tentu semangat pulang ke kampung menziarahi saudara-mara dan berkumpul sebagai sebuah keluarga besar.

“Sebak perasaan ini mengenang semua itu.

“Bayangkan tahun lepas Aidilfitri kita semua disambut di rumah masing-masing saja. Tentu suasana gamat di pagi 1 Syawal sebelum solat sunat hari raya menggamit kenangan.

“Macam anak kami usianya sudah dua tahun tetapi belum berpeluang merasai pengalaman balik kampung dan dibawa menziarahi rumah saudara mara.

“Namun apabila difikirkan cara untuk memutuskan rantaian Covid-19, kita kena patuh.

“Biarlah kita berkorban perasaan asalkan semuanya dapat kembali seperti dahulu,” ulas bintang itu lagi.

IBU kepada Muhammad Rayyan Khalaf, 2, itu juga nekad mengenepikan perasaan takut untuk mengambil suntikan vaksin demi keluarga.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI