fbpx

Raja Syahiran enggan majlis kahwin kena kecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAJA SHAHIRAN

PERCINTAAN penyanyi Raja Syahiran dengan pasangannya iaitu pengacara Uyaina Arshad bukan lagi rahsia.

Biarpun hayat perkenalan mereka baru berlangsung sekitar 10 bulan, namun Syahiran nekad untuk menjadikan bekas juara Pencarian Nona Manis 2015 itu sebagai permaisuri hidupnya.

Jika diikutkan darah muda, ingin sahaja dia menamatkan zaman bujang secepat mungkin, namun jejaka berusia 28 tahun itu tidak mahu nampak terlalu ‘gelojoh’. Dia sebaliknya perlu mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum menggalas tanggungjawab sebagai suami.

Ujar Syahiran, banyak faktor yang perlu diperbaiki sebelum melangkah ke alam perkahwinan termasuk memikirkan soal kestabilan kewangan pada hari ini.

“Kami tak nak terburu-buru menyusun atur urusan perkahwinan hanya kerana mendengar kata orang.

“Perkahwinan bukan setakat majlis perkahwinan saja, tetapi kehidupan selepas bergelar suami isterilah yang menjadi tanggungjawab besar,” ujarnya ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.

RAJA SYAHIRAN mengakui agak sukar untuk bertemu dengan Uyaina lantaran kepadatan jadual kerja kekasihnya itu.

Bukan itu sahaja, Syahiran juga perlu memikirkan tentang keadaan ekonomi semasa lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan ramai pihak.

“Jadi, saya perlu menstabilkan ekonomi terlebih dahulu dan perlu memikirkan soal tanggungjawab dan tanggungan saya bukan saja sebagai suami, tetapi juga sebagai anak kepada ibu bapa sendiri.

“Kesimpulannya, saya kena siapkan fizikal, mental dan kewangan terlebih dahulu sebelum berkahwin,” katanya.

Disoal sama ada sudah menetapkan tarikh perkahwinan, Syahiran memilih untuk tidak mendedahkan perkara tersebut.

“Kami akan umumkan nanti. Kalau boleh, secepat mungkin dan kalau diizinkan dalam tahun ini, maka kami akan melangsungkannya tahun ini,” jelasnya.

Jelasnya, sebaik mungkin dia tidak mahu mengadakan majlis perkahwinannya dalam tempoh negara masih melaksanakan sebarang fasa Perintah Kawalan Pergerakan kerana tidak mahu timbul isu yang boleh menjejaskan keharmonian majlis yang berlangsung.

“Kami mahu perkahwinan kami diiringi doa yang baik-baik daripada orang ramai. Lihat sahaja contoh perkahwinan selebriti yang berlaku dan mendapat pelbagai kecaman masyarakat.

“Jadi, kalau boleh saya tak mahu berlaku sebarang salah faham atau apa-apa isu selepas majlis nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syahiran berkata, sebenarnya dia boleh sahaja melakukan majlis pernikahannya secara ringkas di pejabat agama jika dibenarkan nanti. Namun, dia dan Uyaina sudah mempunyai perancangan sendiri.

AMBIL iktibar daripada kecaman netizen terhadap apa jua majlis, terutama melibatkan selebriti, Raja Syahiran seboleh-bolehnya mahu acara perkahwinannya kelak diadakan ketika negara telah bebas daripada sebarang fasa PKP. – FARIS RUSADIO

“Jangan risau, apabila betul- betul sudah ada tarikh nanti, kami akan maklumkan pada semua. Tiada istilah mahu berahsia,” katanya.

Ketika ditanya tentang khabar wanita yang sudah dirisik keluarga sekitar November tahun lalu itu, Syahiran berseloroh memberitahu bahawa dia perlu membuat janji temu jika mahu bertemu dengan Uyaina.

“Dia sangat sibuk. Saya sendiri sebulan sekali belum tentu boleh bertemu dengannya. Kena buat janji temu dulu,” jelas Syahiran (tertawa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI