fbpx

Dakwaan ahli politik sukarkan usaha India bendung Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pragya turut mendakwa bahawa air kencing lembu dapat menyembuhkan jangkitan pada paru-paru yang disebabkan oleh Covid-19. – ANI/The Print

NEW DELHI, INDIA – Seorang ahli politik di India dikritik selepas mendakwa bahawa beliau dilindungi daripada wabak Covid-19 kerana amalan minum air kencing lembu setiap hari, lapor portal Daily Mail Online semalam.

Pragya Thakur daripada parti pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) turut mendakwa bahawa air kencing lembu dapat menyembuhkan jangkitan paru-paru yang disebabkan oleh virus tersebut.

“Jika kita minum air kencing lembu setiap hari, ia dapat menyembuhkan jangkitan paru-paru akibat Covid-19.

“Meskipun saya berasa tidak selesa, namun saya tetap minumnya setiap hari. Jadi, sekarang saya tidak perlu lagi memakan apa-apa ubat untuk melawan wabak Covid-19, malahan saya juga tidak dijangkitinya (Covid-19),” kata Pragya.

Kenyataan Pragya itu dikecam beberapa tokoh politik lain yang mengatakan bahawa dakwaan tanpa bukti saintifik oleh wanita itu akan menyebabkan orang ramai tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin selain tidak menghormati pekerja barisan hadapan yang berjuang untuk menyelamatkan nyawa rakyat India.

Seorang ahli parlimen daripada parti Bahujan Samaj, Kunwar Danish Ali berkata, kehilangan 50 doktor di negara itu kelmarin akibat Covid-19 adalah sesuatu yang amat buruk.

Pragya mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu acara perhimpunan parti BJP semalam. – Twitter/SurajKrBauddh

“Apa yang lebih teruk adalah kenyataan tidak saintifik dan tidak munasabah daripada seorang ahli politik yang mengatakan bahawa air kencing lembu dapat menyelamatkannya daripada dijangkiti Covid-19.

“Ini akan membuatkan penduduk enggan menerima suntikan vaksin yang akan memburukkan lagi keadaan di negara ini,” tegasnya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ahli parlimen kontroversi itu beberapa hari selepas doktor-doktor di India meminta orang ramai agar tidak melumurkan badan mereka dengan najis lembu atau menggunakan air kencing lembu sebagai rawatan kepada jangkitan Covid-19.

Ini kerana tindakan itu hanya akan mempercepatkan proses penularan virus korona. 

Meskipun mendakwa ‘kebal’ daripada Covid-19, Pragya pada bulan Disember tahun lepas dimasukkan ke sebuah hospital kerana mengalami simptom-simptom dijangkiti virus tersebut, lapor stesen televisyen NDTV.

Dua tahun lepas, beliau turut mencetuskan kontroversi selepas mendakwa sembuh daripada kanser payudara kerana meminum air kencing lembu.

Bagaimanapun, seorang doktor bedah mendedahkan bahawa wanita itu sebaliknya menjalani rawatan mastektomi untuk mencegah penyakit tersebut daripada berulang, lapor akhbar The Hindu. – Agensi

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI