fbpx

Pelajar ‘nakal’ buka kedai komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMAHIRAN dimiliki membolehkan Ahmad membuka kedai menawarkan perkhidmatan baik pulih komputer dan pelbagai barangan lain

KETIKA di bangku sekolah, pemuda berusia 33 tahun ini dikategorikan sebagai remaja nakal kerana gemar menghabiskan masa melepak bersama rakan-rakan.

Tidak cukup dengan itu, dia juga nekad berhenti sekolah ketika di tingkatan empat.

Begitupun, pemilik nama Ahmad Misru ini bernasib baik kerana berjaya menyedari kesilapan diri dan mengubah nasib demi masa depan yang cerah.

Setelah 16 tahun berlalu, Ahmad kini membuka syarikat yang menawarkan perkhidmatan menjual dan membaik pulih komputer, pencetak, televisyen dan kamera litar tertutup.

“Saya merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik. Berasal daripada keluarga yang sederhana, sewaktu kecil saya merupakan seorang kanak-kanak yang nakal.

“Saya gemar melepak bersama rakan dan melakukan aktiviti tidak berfaedah. Saya juga tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia kerana hanya bersekolah di tingkatan empat sahaja,” katanya memulakan bicara.

Sekitar tahun 2005, salah seorang rakan arwah ayah mengajak Ahmad untuk mengambil kursus pembantu juruteknik sistem komputer di Giatmara Cheras, Kuala Lumpur.

Berbekalkan ilmu kemahiran berkaitan membaik pulih komputer, ia berjaya menarik minat Ahmad untuk mendalami bidang tersebut.

Siapa sangka daripada seorang yang gemar melepak dan tidak mengambil berat hal pelajaran, Ahmad terdorong untuk menyertai pertandingan kemahiran.

“Kata-kata semangat yang tidak putus-putus daripada guru-guru membuatkan saya ingin menyertai pertandingan tersebut.

“Pada waktu itu, saya mewakili pusat latihan untuk bertanding di peringkat daerah dan negeri. Tidak sangka saya berjaya memenangi tempat pertama,” katanya.

Ujarnya, kejayaan tersebut membangkitkan lagi semangatnya untuk mendalami dan mengembangkan ilmu serta kemahiran dalam bidang pengkomputeran.

LEBIH 10 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan, Ahmad kini berjaya mendapat kepercayaan umum terhadap perkhidmatan yang ditawarkan olehnya.

Berkat minat dan ketekunannya itu juga, dia berjaya menubuhkan syarikatnya sendiri, HA Global Resources pada 1 Jun 2016 di Prima Saujana, Kajang dengan hanya bermodalkan RM10,000.

Begitupun pada waktu itu, syarikat milik Ahmad hanya memfokuskan perkhidmatan membaiki komputer dan pencetak sahaja.

Ternyata tuah menyebelahi dirinya apabila belum setahun jagung menceburkan diri dalam dunia perniagaan, syarikatnya berjaya mendapat sambutan menggalakkan.

Sambutan memberangsangkan yang diterimanya itu juga membolehkan dia membuka satu lagi cawangan di sekitar Ampang dan menambah lagi perkhidmatan seperti menjual, membaik pulih televisyen, telefon bimbit, kamera litar tertutup dan sistem kawalan keselamatan.

“Di awal perniagaan, agak sukar untuk saya memperkenalkan syarikat dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada umum.

“Disebabkan itu, saya mengambil beberapa kakitangan untuk membantu menguruskan hal-hal berkaitan pemasaran, kewangan dan kerja-kerja lain,” katanya.

Berkecimpung dalam dunia perniagaan pada usia yang sangat muda, Ahmad mengakui pernah beberapa kali diuji.

“Menjalankan perniagaan tidaklah semudah dijangka kerana saya pernah tidak mampu membayar kereta, rumah dan lain-lain keperluan. Sebaliknya dia hanya dapat membayar sewa kedai.

“Selama satu tahun juga saya tidak mengambil gaji. Begitupun saya bersyukur kerana isteri begitu memahami dan tidak pernah sesekali merungut dengan kekurangan yang dialami ketika itu.

“Sebaliknya dia sering memberikan kata-kata semangat di saat saya jatuh,” ujarnya.

Berkat kesabaran Ahmad bergelumang dengan pahit manis dunia perniagaan, dia berjaya mengekalkan perniagaannya sehingga ke hari ini.

“Nasihat saya kepada orang yang baru menceburi bidang perniagaan, jangan pernah takut dan putus asa dalam mencuba sesuatu bidang.

“Yakinlah Allah akan sentiasa membantu dan memberikan yang terbaik di atas usaha kita sendiri.

“Percayalah 90 peratus daripada rezeki itu datang daripada perniagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI