fbpx

Guna kreativiti meriahkan Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / AFIQ RAZALI
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

HARI INI merupakan syawal kelima bagi umat Islam di negara ini menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Walaupun disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tetap meriah.

Ini termasuk kaedah panggilan video selain kisah tular orang ramai ‘berpiknik’ di luar rumah di Chemor, Perak pada hari pertama Aidilfitri.

Uniknya, gambar itu me­n­ceritakan mengenai dua keluarga tinggal berjiran menikmati juadah raya dalam norma baharu selepas tidak membenarkan aktiviti ziarah raya sempena hari raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengumuman kerajaan dua hari sebelum raya itu seme­mangnya memberi impak besar, namun kita memiliki tugasan le­bih besar iaitu memutuskan rantaian Covid-19.

Mengikut rekod, PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara pada 12 Mei lalu berikutan jumlah kes positif harian melebihi 4,000 kes serta 37,396 kes aktif setakat 10 Mei lalu.

Sekiranya tidak dibendung, Malaysia bakal berdepan gelombang baharu yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

Biarpun ramai mempertikaikan pelaksanaan PKP 3.0, namun Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan kerajaan tidak mahu lagi menyusahkan rakyat seperti yang berlaku pada PKP 1.0 apabila ramai berdepan kesukaran termasuk risiko kehilangan pekerjaan.

“Kerajaan berpandangan perlunya mengimbangi antara ke­perluan kesihatan dan ekonomi rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pskiologi dan Ke­sejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor, ziarah raya bukan sekadar fizikal, tetapi teknologi harus dimanfaatkan sebaiknya sama ada panggilan, rakaman dan pengeditan video buat orang yang tersayang.

“Bukan bermakna ziarah tidak dibenarkan, silaturahim terputus. Kita ada cara masing-masing bagi meraikan Aidilfitri.

“Ini merupakan satu petanda yang bagus sebab kita nampak semua kreatif dalam bentuk positif terutama untuk menggembirakan kanak-kanak dan orang tua yang berada di kampung,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, rakaman dalam bentuk ucapan sekalipun akan memberikan sentuhan amat bermakna dengan ibu bapa boleh melihatnya secara ber­ulang-ulang seterusnya mengubat rasa rindu dan nostalgia.

“Kalau kita terima seadanya apa (arahan) yang dikeluarkan pihak berkuasa dan memandang­nya dari sudut positif, Insya-­Allah kita akan berasa bersyukur dan gembira.

“Saya harap rakyat jangan terlampau fokus dengan arahan khususnya berkaitan tidak boleh merentas negeri atau daerah sehingga berasa tertekan kerana ada pelbagai cara lain yang boleh digunakan untuk dimanfaatkan pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini,” jelasnya.

Bagi penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah pula, sebagai umat Islam kita seharus­nya mengambil pengajaran daripada pandemik Covid-19 dengan sentiasa berdoa kepada Allah.

“Selain itu, ikut saranan kerajaan dengan memakai pelitup muka, bukannya berpegang kata kalau hendak mati, mati juga.

“Jangan anggap ini musibah kerana setiap ujian Allah ada hikmahnya. Tiada penyakit di dunia ini tidak boleh diubati kecuali mati,” ujar beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI