fbpx
GAMBAR HIASAN / AFP

Conte effect julang Inter Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWAL bulan ini menyaksikan saingan Serie A Itali mendapat juara baharu selepas Inter Milan memecahkan dominasi Juventus yang merangkul kejuaraan untuk tempoh sembilan musim berturut-turut.

Inter memiliki sejarah yang cukup panjang selain pernah menjadi kuasa bola sepak di Eropah termasuk melahirkan pemain-pemain bintang ternama.

Musim 2009/10 adalah paling gemilang buat Inter ketika mereka di bawah kendalian Jose Mourinho apabila merangkul gelaran trebel iaitu Serie A, Liga Juara-Juara dan Piala Itali.

Bagaimanapun, selepas Mourinho menyertai Real Madrid, prestasi Inter mula menurun apabila sekadar muncul naib juara pada tahun berikutnya dan hilang taring sehingga ‘disisihkan’ selaku pencabar Serie A.

Bagi pengendalinya, Antonio Conte, gelaran Scudetto bukanlah satu yang asing apabila beliau pernah meraihnya sebanyak tiga kali berturut-turut bermula pada 2012 ketika membimbing Juventus.

Malah, Conte juga dianggap antara pengurus yang cemerlang di Liga Perdana Inggeris apabila berjaya membawa Chelsea menjulang gelaran liga pada musim pertamanya di Stamford Bridge pada musim 2016/17.

Jurulatih berusia 51 tahun dari Lecce, Itali itu dilantik ke jawatan jurulatih Inter pada musim 2019 dan musim pertamanya di San Siro menyaksikan beliau hampir memberikan pasukan itu gelaran juara apabila menamatkan musim di kedudukan kedua ketinggalan satu mata sahaja di belakang juara, Juventus.

Musim ini menyaksikan kegagalan Atalanta mencatat kemenangan ke atas Sassuolo membolehkan Inter dinobatkan sebagai juara biarpun masih berbaki empat perlawanan liga sebelum musim menutup tirai.

Kejayaan Inter merangkul kejuaraan kali ini menamatkan penantian hampir 10 tahun dan antara pemain yang paling terkesan dengan kejayaan Inter adalah penjaga gol mereka, Samir Handanovic.

Menyertai Inter sejak Julai 2012, Handanovic telah membuat sebanyak 326 penampilan bersama pasukan itu dan beberapa kali dipancing oleh pasukan lain, namun dia setia di San Siro dan penantiannya untuk menjulang gelaran Serie A akhirnya berbaloi kali ini.

Selain itu, empat pemain buangan dari Manchester United, Romelu Lukaku, Alexis Sanchez, Ashley Young dan Matteo Darmian turut menumpang tuah kejayaan Inter musim ini apabila gelaran itu tersemat dalam lipatan karier masing-masing.

Musim kedua di San Siro, Conte berjaya mengubah keseluruhan gaya permainan Inter apabila mengambil langkah berani meletakkan dua pemain muda iaitu Nicolo Barella dan Stefano Sensi untuk membentuk corak permainan yang lebih kreatif.

Jentera serangan juga mengalami perubahan apabila mereka menjual Mauro Icardi dan menggantikannya dengan Lukaku yang berjaya membentuk gandingan bersama Lautaro Martinez dan Alexis Sanchez.

Apa yang nyata, Conte effect itu jelas menguntungkan Inter, namun masa depannya bersama kelab belum dipastikan selepas dia dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pihak pengurusan, tetapi kejayaan ini mungkin akan mengubah pandangan semua pihak. -K! ONLINE