fbpx

Bukan sekadar klinik tetapi sumber bantuan golongan susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mohd. Erhan Rahimi dan isterinya Mardhiah Mohamad Yusof di hadapan 'Food Bank' di dalam kliniknya di Bentong baru-baru ini.

BENTONG – Klinik Dr. Erhan di sini bukan sahaja menjadi tempat untuk pesakit mendapatkan rawatan tetapi menjadi sumber keperluan kepada golongan susah yang terputus bekalan makanan.

Dr. Mohd. Erhan Rahimi bersama isterinya, Mardhiah Mohamad Yusof,32, nekad menubuhkan ‘Food Bank’ di kliniknya di sini selepas melihat kesusahan penduduk yang terputus bekalan makanan dan ketiadaan susu anak kecil semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Sejak penubuhan Food Bank berkenaan pada Februari tahun lalu, ia kini terus menjadi sumber keperluan kepada golongan yang terputus bekalan makanan khususnya yang kehilangan sumber pendapatan.

Mohd. Erhan berkata, sebagai anak jati Bentong dia amat terkesan apabila mendengar berita kesusahan penduduk akibat terputus mata pencarian seterusnya tiada sumber makanan malah ada yang terpaksa menggunakan air masak menggantikan susu anak kecil.

“Saya pada mulanya berbincang dengan imam masjid Bentong yang kemudiannya mencadangkan saya membuat ‘Food Bank’ di klinik saya sebelum saya bersama ibu dan isteri membeli barangan keperluan.

“Alhamdulillah penubuhan ‘Food Bank’ ini dapat membantu masyarakat yang susah dan saya lihat sendiri ramai yang terharu dan menangis apabila menerima sumbangan ini yang begitu bermakna buat mereka,”katanya ketika ditemui di kliniknya di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Erhan antara barangan yang disediakan termasuklah beras, telur, biskut, milo, susu bayi dan tuala wanita yang dibelinya sendiri atau sumbangan daripada mana-mana pihak.

Katanya, barangan keperluan yang disediakan berkenaan diberikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tidak mengira agama atau bangsa selain tiada sebarang syarat ditetapkannya.

“Saya tidak pernah meletakkan syarat dan mereka yang datang akan mengambil berdasarkan keperluan mereka dan biasanya mereka amat terharu dengan sumbangan ini, Insya-Allah kisah kehidupan masyarakat yang datang ini menjadi motivasi untuk saya meneruskan ‘Food Bank’ ini,”katanya.

Sementara itu, Mardhiah berkata, selain barangan makanan, tuala wanita merupakan antara keperluan penting yang diperlukan masyarakat khususnya golongan yang susah dan hilang punca pendapatan.

Katanya, sehingga kini tuala wanita yang ditempatkan di ‘Food Bank’ berkenaan sentiasa mendapat permintaan daripada golongan wanita khususnya anak-anak gadis daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Ada seorang bapa datang bersama enam anak perempuan pada mulanya mereka malu tetapi akhirnya mereka mengakui amat memerlukan tuala wanita yang tidak mampu dibeli pada masa itu,”ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received